Berita UtamaDuniaUtama

65 orang maut akibat strok haba

Angka kematian mungkin meningkat jika gelombang berterusan


ISLAMABAD, 7 Ramadan 1439H, Rabu – Sekurang-kurangnya 65 orang di bandar selatan Pakistan di Karachi mati ekoran gelombang panas yang berlanjutan sejak tiga hari lalu.

Sebuah pertubuhan kebajikan sosial berkata, suhu mencecah sehingga 44 darjah Celsius dan angka kematian mungkin meningkat.

Pengasas Edhi Foundation, yang mengendalikan rumah mayat dan perkhidmatan ambulans di bandar terbesar Pakistan, Faisal Edhi berkata, kematian berlaku di kawasan miskin di Karachi.

“Seramai 65 orang maut sejak tiga hari lalu. Kami menyimpan mayat di kemudahan simpanan sejuk dan doktor di kawasan kejiranan berkata, mangsa maut akibat strok haba,” katanya.

Namun, Setiausaha Kesihatan wilayah Sindh, Fazlullah Pechuho memaklumkan akhbar bahasa Inggeris, Dawn, tiada seorang pun mati akibat strok haba.

“Hanya doktor dan hospital dapat memutuskan jika punca kematian adalah strok haba atau tidak. Saya menolak mangsa mati akibat strok haba di Karachi,” kata Pechuho.

Insiden gelombang panas pernah berlaku pada 2015 apabila rumah mayat dan hospital dibanjiri sekurang-kurangnya 1,300 mangsa, majoriti warga emas dan individu sakit akibat panas melampau. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close