Berita UtamaDr Ahmad Sanusi AzmiKolumnis

Memudahkan urusan perkahwinan

1. Rasulullah mendidik sahabat supaya memudahkan urusan perkahwinan. Sabda Bagindaﷺ

إِنَّ مِنْ يُمْنِ الْمَرْأَةِ : تَيْسِيرَ خِطْبَتِهَا ، وَتَيْسِيرَ صَدَاقِهَا ، وَتَيْسِيرَ رَحِمِهَا

“Sesungguhnya antara kebaikan (keberkatan) seorang wanita itu adalah pada mudahnya urusan pertunangannya, rendahnya (mudah) urusan maharnya serta senangnya dalam menghubung silaturrahim.” (Ahmad, Musnad, 2001; Ibn Hibban, Sahih, 1988)

Hadith ini mengajar kita bahawa memudahkan urusan perkahwinan itu adalah antara sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah.

2. Berhubung perkara ini juga, al-Imam Abu Daud menukilkan sabda Rasulullahﷺ yang menyebut:
خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ 
“Sebaik-baik nikah adalah yang paling mudah”

Dalam menghuraikan hadith ini, al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan mudah itu adalah urusan perkahwinan tersebut dipermudahkan dari aspek mahar dan belanja yang lain. Manakala Sheikh al-Azizi pula menghuraikan maksud mudah itu sebagai “yang rendah maharnya serta mudah urusan pertunangannya. (al-Mubarakfuri, ‘Aun al-Ma’bud, 1415H).

3. Dari aspek praktikalnya pula, Rasulullahﷺ sendiri memberikan tauladan yang terbaik. Ketika Saidina Ali datang untuk meminang anak Rasulullahﷺ, Baginda bertanya kepada beliau: Apa yang ada di sisi mu yang boleh dijadikan mahar?”. Ali menjawab: Aku tidak memiliki apa-apa. Lalu Rasululullah mencadangakan baju besi yang dimiliki oleh Ali sebagai mahar perkahwinan mereka. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Malah Saidina Umar turut menjadi saksi dalam perkara ini. Kata Umar:

أَلا لا تُغْلُوا صُدُقَ النِّسَاءِ ، فَإِنَّهَا لَوْ كَانَتْ مَكْرُمَةً فِي الدُّنْيَا وَتَقْوَى عِنْدَ اللَّهِ ، كَانَ أَوْلاكُمْ بِهَا مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، مَا زَوَّجَ أَحَدًا مِنْ بَنَاتِهِ وَلا تَزَوَّجَ أَحَدًا مِنْ نِسَائِهِ بِأَكْثَرَ مِنْ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ أُوقِيَّةً

“Janganlah kamu semua meninggikan mahar wanita, jika ia adalah satu kemuliaan di dunia atau satu ketaqwaan di sisi Allah, maka yg lebih berhak denganya adalah Muhammad SAW, namun Baginda hanya mengahwinkan salah seorg puteri baginda bahkan Baginda sendiri tidak mengahwini perempuan lain melebihi belanjanya dari 12 Awqiah (timbangan bersamaan 500 gram)” (Abu Daud 2099, al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai Sahih 1114)

4. Mempermudahkan urusan perkahwinan ini membantu remaja pemuda Islam dari banyak aspek, terutama dari aspek menjaga kehormatan Muslim. Dalam perkara ini Rasulullahﷺ menjanjikan bahawa mereka yang berkahwin untuk menjaga kehormatannya akan sentiasa dipelihara Allah. Dan peranan Muslim yang lain juga adalah membantu niat mereka ini. Sabda Rasulullah:

قد قال النبي صلى الله عليه وسلم: ثلاثة حق على الله عونهم.. وذكر منهم: الناكح الذي يريد العفاف. رواه أحمد والنسائي والترمذي وحسنه

Sesungguhnya Rasulullahﷺ pernah bersabda: Ada tiga golongan yang akan dibantu oleh Allah, salah seorangnya adalah mereka yang bernikah kerana ingin menjaga kehormatan diri (dan kesucian agama). Riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan al-Tirmizi.

Dr Ahmad Sanusi Azmi 
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close