Berita UtamaUtama

Syed Saddiq terkejut pengikut Instagram cecah lebih 700,000

Ahli Parlimen Muar janjikan ruang bersuara anak muda terbuka

KUALA LUMPUR, 2 Ramadan 1439H, Jumaat – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terkejut melihat jumlah pengikutnya di media sosial, terutama Instagram meningkat mendadak ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

“Bilangan ‘followers’ meningkat lebih 700,000 berbanding 150,000 sebelum ini…agak luar biasa sebenarnya,” kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine 11, terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, hari ini.

Syed Saddiq, 25, yang merupakan juara debat antarabangsa menarik minat netizen apabila dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan lambang PKR pada PRU baru-baru ini.

Kemenangannya di kerusi Parlimen Muar dengan majoriti 6,953 undi mengalahkan penyandang Datuk Seri Razali Ibrahim (BN-UMNO) yang memenangi kerusi itu sejak PRU 2004 dan calon PAS, Abdul Aziz Talib adalah satu pencapaian yang hebat.

Ketika kempen PRU lalu, Syed Saddiq turut menjadi tetamu dalam rancangan Dimensi Di Ismaweb.net, dan memperkatakan pelbagai isu berkaitan anak muda, politik tanah air dan harapannya.

TONTON DIMENSI ISMAWEB.NET: PRU14 – Mampukah anak muda bawa perubahan

Syed Saddiq berkata, dengan peningkatan pengikutnya terutama di media sosial, ini bermakna beliau kini memikul tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang dimuat naik berbentuk positif dan memanfaatkan pengikutnya.

Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah menolak tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Oxford University, England kerana politik, Syed Saddiq berkata, beliau mahu memainkan peranan penting di Dewan Rakyat bagi membangkitkan isu-isu berkaitan pendidikan dan masa depan belia Malaysia.

Katanya, penerimaan rakyat terhadap pemimpin muda menunjukkan mereka inginkan perubahan dan mahu isu-isu berkaitan golongan muda seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, kos sara hidup dan tiada rumah mampu milik, diberi penekanan di Parlimen.

Selain Syed Saddiq yang ​​ berasal dari Johor Bahru dan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja Malaysia, beberapa lagi calon muda PH menang pada PRU14 itu antaranya bagi kerusi Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 32.

Seorang calon Bebas P Prabakaran mencatat rekod sebagai anggota Dewan Rakyat termuda di negara ini pada usia 22 tahun apabila memenangi kerusi Parlimen Batu. Anak muda ini kemudian mengumumkan menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berjanji akan memastikan anak muda di negara ini mempunyai ruang bersuara dalam dunia politik Malaysia dalam usaha membina semula negara ini.

“Ini termasuk suara anak muda parti Barisan Nasional (BN) bagi memperlihatkan budaya politik yang sihat, proaktif dan kompetitif,” kata anak guru Bahasa Inggeris itu.

Beliau juga berharap BN dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik, khususnya dalam memastikan unsur semak dan imbang dalam aspek pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Syed Saddiq mula aktif dalam politik apabila beliau dan 24 lagi belia yang menggelarkan diri mereka “Change Led by the Young Generation (Challenger)” mengeluarkan kenyataan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berikutan skandal 1MDB pada 2016 dan seterusnya menyertai PPBM serta menjadi jurucakap parti. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close