Berita UtamaUtama

Musa Aman saman Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri

Shafie Apdal serah kepada mahkamah untuk buat keputusan

KOTA KINABALU, 2 Ramadan 1439H, Jumaat – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, semalam memfailkan writ saman terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, memohon perisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Dalam permohonan difailkan oleh Tetuan FT Ahmad & Co, Musa turut menamakan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, sebagai responden kedua.

Writ itu juga memohon perisytiharan bahawa apa-apa dan semua tindakan oleh Shafie yang dikatakan sebagai Ketua Menteri adalah batal, tidak sah dan tidak terpakai.

Mengikut Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, sebaik writ diserahkan, Juhar dan Shafie mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan kehadiran.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei, sementara Mohd Shafie mengangkat sumpah pada 12 Mei.

Sementara itu, Shafie yang menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung saman berkenaan, berkata, perkara itu bukan masalah dan beliau akan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Malahan beliau berkata, Musa patut mencontohi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berundur diri secara budiman apabila tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sekali gus memberi laluan kepada Tun Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri pada tahun 1994.

“Saya masih ingat lagi, bila mana dia (Pairin) mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan (tetapi) selepas itu dia hilang sejumlah sokongan Adun dan majoriti tidak cukup.

“Dia sebagai seorang budiman yang mematuhi undang-undang dan memahami undang-undang, tanpa ada sebarang bantahan terus menerima nasihat dan pandangan (letak jawatan) daripada TYT Tun Said Keruak (ketika itu) untuk membolehkan Tun Sakaran mengambil alih selaku ketua menteri.

“Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah artikel 7, cukup jelas menyatakan apabila ketua menteri tidak mempunyai cukup jumlah undi (yang dinyatakan majoriti keyakinan daripada Adun) maka atas penilaian dan pandangan TYT bahawa mana-mana ketua menteri berundur selain membubarkan Dewan Undangan Negeri atas persetujuannya,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close