Berita Utama

Kerajaan umum bantuan lebih komprehensif esok atau lusa

PM tegaskan kerajaan akan cuba bantu rakyat depani saat sukar

PETALING JAYA, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih komprehensif di bawah Fasa (Pertama) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi semua kumpulan masyarakat, sama ada esok atau pada Selasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan perincian bantuan tersebut merangkumi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan kira-kira 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19 menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.

“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata bantuan yang akan diumumkan kali ini akan mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak COVID-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.

“Perinciannya akan saya maklumkan esok atau lusa supaya semua tahu di mana kita berada, tapi apa yang penting kita beri sokongan kepada semua kumpulan masyarakat,” katanya sambil membayangkan kemungkinan akan terdapat peningkatan dalam bantuan yang akan diberikan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button