Berita UtamaUtama

Polis serbu rumah Najib

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial cari bukti skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 1 Ramadan 1439H, Khamis – Polis menyerbu lima premis milik Datuk Seri Najib Razak dan yang ada kaitan dengannya, termasuk terbaharu di rumah beliau di Jalan Langgak Duta di Taman Duta dan sebuah kondominium di Pavilion KL, di ibu negara malam tadi.

Serbuan itu dilakukan selepas siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibuka semula dan dilakukan secara besar-besaran bermula Selasa lalu.

Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, memasuki rumah Najib di Jalan Langgak Duta malam tadi, sebaik sahaja bekas Perdana Menteri itu kembali daripada menunaikan solat di sebuah masjid berhampiran.

Sekurang-kurangnya tujuh kereta dan sebuah lori polis memasuki pekarangan rumah itu, sebelum keluar dengan membawa pelbagai kotak dipercayai berisi dokumen penting, sekali gus mengesahkan spekulasi Najib akan ditangkap.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib akan didakwa di mahkamah secepat mungkin jika ada salah laku dalam skandal 1MDB membabitkan berbilion-bilion ringgit.

Difahamkan, serbuan yang sama turut dilakukan ke atas sebuah kondominium milik Najib di Pavilion KL, yang dikatakan menjadi tempat menyimpan pelbagai barang mewah, termasuk beg tangan dan aksesori yang didakwa milik Datin Seri Rosmah Mansor.

Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh memberitahu media bahawa serbuah ke atas rumah Najib bertujuan mencari bukti skandal 1MDB.

Sehingga jam 1.30 pagi ini, siasatan masih dijalankan di rumah Najib di Taman Duta.

Selasa lalu, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Amar Singh, di mana Perdana Menteri dipercayai mengarahkan siasatan kes 1MDB dilakukan segera.

Sebelum ini, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia telah menjalankan siasatan terhadap skandal 1MDB dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dilaporkan berkata, Najib tidak terbabit dalam kes itu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close