Berita Utama

Jumlah kakitangan urus jemaah haji tahun ini kurang separuh

Pengalaman, pengetahuan kriteria utama pemilihan kakitangan

SEPANG, 29 Syawal 1443H, Isnin – Jumlah kakitangan yang akan menguruskan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci berkurangan kepada hampir separuh berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebelum penularan wabak COVID-19, terdapat kira-kira 650 kakitangan yang akan berlepas dari Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan kepada jemaah haji tempatan.

Bagaimanapun, ia telah dikurangkan kepada sekitar 340 kakitangan tahun ini daripada pelbagai sektor dan jabatan.

“Tetapi ia tidak akan menjejaskan operasi haji (di Tanah Suci) kerana kami telah membuat perancangan sewajarnya.

“Status kesihatan kakitangan bukan satu-satunya kriteria dalam memilih mereka tahun ini, tetapi juga pengalaman dan pengetahuan.

“Mereka mampu bekerja di Makkah malah Madinah, mampu melakukan pelbagai tugas dan fleksibel dalam tugas mereka,” katanya pada sidang media selepas menghantar kumpulan kedua kakitangan haji di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen di sini hari ini.

Seramai 84 petugas haji berlepas hari ini sebagai persiapan musim haji 1443H/2022M.

Awal bulan ini, 13 yang lain sudah berlepas dan tiba di sana untuk memulakan tugas mereka.

Syed Saleh berkata, kumpulan yang lebih besar akan berlepas pada 2 dan 5 Jun manakala sebahagian lagi akan mengiringi jemaah ketika mereka memulakan perjalanan dari Malaysia.

“Majoriti daripada 84 kakitangan yang berlepas hari ini akan bertugas di Madinah.

“Ia akan menjadi tahun yang mencabar bagi kami kerana mungkin terdapat perubahan dan pengenalan peraturan baharu oleh kerajaan Saudi berikutan situasi COVID-19,” tambahnya.

Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara menyertai haji tahun ini.

Kuota haji Malaysia tahun ini ialah 14,306 jemaah – 45 peratus daripada kuota tahunan sebelumnya sebanyak 31,600 sebelum wabak itu melanda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button