Berita UtamaDuniaPalestinUtama

‘Dia dunia saya, kini dia tiada’

62 rakyat Palestin ditembak mati rejim pengganas Israel Selasa lalu

GAZA, 1 Ramadan 1439H, Khamis – Nisma Abdel Qader masih tidak percaya, anak lelakinya sudah tiada.

Askar rejim pengganas Israel menembak mati Bilal al-Ashram, di kepala ketika mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan ‘The Great March of Return’ di Semenanjung Gaza, Selasa lalu.

Sambil air mata terus mengalir, Nisma menggambarkan remaja yang dilahirkan 18 tahun itu sebagai ‘dunia’ baginya.

Bilal adalah anak sulung bagi lapan beradik dan membantu keluarga itu, ketika ketiadaan bapa mereka yang bekerja di Jordan sejak enam tahun lalu.

Nisma memberitahu dia cuba menghalang Bilal daripada menyertai tunjuk perasaan besar-besaran di timur Gaza bersempadan dengan pagar tentera rejim Zionis.

Tunjuk perasaan yang bermula sejak 30 Mac lalu, mendesak dikembalikan hak pelarian Palestin ke atas tanah, rumah dan perkampungan mereka, selepas dihalau bagi mewujudkan negara Israel 70 tahun lalu. Pembersihan rakyat Palestin oleh militan Zionis pada 1948 dikenali sebagai Peristiwa Nakba, dan diperingati setiap tahun.

Sehari sebelum dibunuh, Bilal menulis dalam Facebook memberitahu dia sedang bergerak ke Bir Seb’a, bandar di selatan Israel di mana keluarganya pernah dihalau ketika Peristiwa Nakba.

“Saya amat takut. Dia terlalu ghairah untuk menyertai tunjuk perasaan. Apabila tunjuk perasaan mulai tenang pada 15 Mei, saya berasa lega. Saya menyangka tiada apa yang berlaku kepadanya. Saya masih tidak percaya dia telah tiada,” kata Nisma.

Nisma berkata, dia tidak menentang tunjuk perasaan ‘The Great March of Return’, tetapi dia menentang kehilangan nyawa anak muda Palestin.

“Kami ada hak untuk kembali, tapi pada penghujung hari, mereka adalah anak-anak kami. Mereka masih remaja, berada di pertengahan kehidupan. Tetapi, rejim Zionis tidak menunjukkan belas kasihan kepada kami.

“Apakah ancaman yang dibuatnya kepada rejim Israel?,” katanya ketika ditemui pada pengebumian Bilal di tanah perkuburan di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

Mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, askar diharamkan menggunakan peluru hidup dalam situasi yang tidak mengancam nyawa.

Di tanah perkuburan yang sama, Jalilah Ghrab meratapi kematian suaminya, Nasser.

Jalilah berkata, dia, suaminya dan anak lelakinya berusia 31 tahun berada kira-kira 800 meter dari pagar di timur Bureji, tatkala Nasser ditembak di dada, dan lima minit selepas tiba di hospital, jantungnya berhenti berdenyut.

“Dia terlalu percaya kepada hak untuk kembali. Dia akan menyertai tunjuk perasaan setiap hari. Malah, dia juga mendirikan khemah untuk keluarga kami.

“Kehilangannya adalah sesuatu yang pahit dan menyakitkan hati, dan hati membara marah terhadap rejim Israel. Dia adalah semangat kepada keluarga kami. Dia mengambil berat terhadap semua di dalam rumah kami dan seorang bapa yang baik hati,” kata Jalilah sambil menambah keluarganya dihalau dari Isdud, 35 kilometer di utara Gaza pada 1948.

Dengan azam yang kuat, Jalilah berkata, dia akan terus pergi ke khemah yang didirikan suaminya dengan membawa seluruh keluarganya bersama. – al Jazeera

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close