Berita UtamaUtama

Terengganu perkenal 11 portfolio baharu

Tambah baik tugasan Exco berbanding portfolio terdahulu

KUALA TERENGGANU, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai 11 portfolio baharu untuk membantu kelancaran pentadbiran negeri.

Beliau berkata, terdapat beberapa penambahbaikan tugasan dibuat terhadap Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berbanding portfolio terdahulu.

“Saya sendiri akan mempengerusikan portfolio Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli manakala Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahari Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Selain itu, ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak pula akan mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar manakala ADUN Bukit Payong Mohamad Nor Hamzah mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama di Wisma Darul Iman hari ini.

Selain itu, ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran) serta ADUN Alor Limbat, Ariffin Deraman (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat).

Selain itu, ADUN Chukai, Hanafiah Mat pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional serta ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO).

Manakala ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau) serta ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja.

PAS Terengganu berjaya membentuk kerajaan negeri setelah memenangi 22 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close