Berita UtamaUtama

Terengganu hapus prosedur tandatangan JKKK

Pengagihan dana raya diteruskan seperti biasa: Dr Samsuri

KUALA TERENGGANU, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Tiada lagi tandatangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diperlukan untuk sebarang permohonan rakyat selepas ini, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, ia bagi mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan urusan rakyat bersama jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini.

“Sebagai contoh, sebelum ini permohonan mendapatkan lot berniaga bazar Ramadan memerlukan pemohon mendapatkan tandatangan daripada JKKK, namun ia tidak lagi diperlukan selepas ini.

“Rakyat boleh mengemukakan sebarang permohonan mereka secara terus kepada jabatan dan agensi kerajaan atau majlis daerah yang berkaitan, tanpa perlu melalui prosedur menyusahkan (tandatangan JKKK) seperti dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama di Wisma Darul Iman hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa pengagihan dana raya menjelang Aidilfitri tahun ini akan diteruskan seperti biasa dan tempoh permohonan untuk pemohon baharu akan dilanjutkan.

“Sehubungan itu, bagi sesiapa yang merasakan mereka layak mendapatkan dana raya, boleh menghantar permohonan seperti biasa (secara dalam talian),” katanya.

Ketika ini, terdapat beberapa kategori pemohon untuk dana raya iaitu orang miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dengan pengagihan dana antara RM300 hingga RM400 seorang.

Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang turut mengumumkan pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat miskin yang tersenarai dalam e-Kasih, iaitu satu daripada 20 manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

“Ini berbeza dengan mekanisme kerajaan negeri sebelum ini iaitu sekiranya rakyat menggunakan 21 meter padu air, bayaran akan dikenakan untuk kesemua jumlah tersebut.

“Namun kali ini sekiranya rakyat menggunakan 21 meter padu air, bayaran yang dikenakan hanya untuk satu meter padu sahaja,” katanya yang menjangkakan mekanisme itu dapat dilaksanakan sebaik sahaja selesai beberapa urusan berkaitan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close