Berita UtamaUtama

PM harap pembentukan Kabinet selesai minggu ini

Dr Mahathir mahu segera penuhi 10 kementerian penting dahulu

PUTRAJAYA, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap akan menyelesaikan isu pembentukan Kabinet merangkumi 10 portflio utama secepat mungkin.

Bercakap dalam sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, beliau berkata, senarai menteri utama akan diumumkan selewat-lewatnya minggu ini.

“Setakat ini, kita perlu tubuhkan kerajaan dengan hanya 10 menteri utama yang boleh menjalankan tugas kerajaan untuk sementara waktu.

“Dan mesyuarat Kabinet akan diadakan dengan 10 orang ini sahaja, sementara kita mengisi 15 lagi tempat untuk melengkapkan Kabinet seramai 25 orang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, perkara itu akan mengambil masa, selain turut berusaha untuk segera mengadakan mesyuarat Parlimen secepat mungkin.

“Kita akan cuba percepatkan proses Parlimen, angkat sumpah dan kajian berkenaan undang-undang yang perlu dimansuhkan termasuk polisi kerajaan terdahulu,” katanya.

Setakat tujuh hari kerajaan baharu mengambil alih Putrajaya, hanya jawatan PM, TPM dan tiga menteri Kabinet berkenaan sahaja sudah diisi.

Bagaimanapun, hanya jawatan Perdana Menteri sahaja yang sudah selesai diangkat sumpah setakat ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan tiga menteri untuk portfolio utama iaitu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu.

Sehingga kini, tujuh lagi kementerian penting dalam pembentukan Kabinet masih kosong membabitkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia, Sains dan teknologi serta Kementerian Luar.

 
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close