Berita UtamaUtama

Penstrukturan semula industri air akan dimuktamad segera

Beri keutamaan bentuk kerajaan Persekutuan dahulu: Azmin Ali

SHAH ALAM, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memberi jaminan bahawa penstrukturan semula industri air di Selangor akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, memang menjadi agenda utama pihaknya untuk segera mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perkara itu.

“Sekarang Kettha (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) kawan kita, Putrajaya sahabat kita, jadi saya kira Insya-Allah penstrukturan semula industri air akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan portfolio 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua anggota Exco terdiri daripada tujuh muka baharu dan tiga muka lama mengangkat sumpah menyimpan rahsia rasmi kerajaan negeri dan sebelum itu telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang, pada Isnin lepas.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pakatan Harapan akan mengadakan pilihan raya kecil bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kerajaan, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, keutamaan akan diberikan kepada pembentukan kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

“Berikan dukungan padu kepada (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (timbalan perdana menteri) sebagai pasukan untuk memimpin kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bincangkan langkah seterusnya yang sudah dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan memberi pengampunan penuh kepada Anwar dan diberikan kebebasan serta merta, setelah dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bermesyuarat sebelum itu.

Anwar, 71, menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh pada Februari 2015 dan sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun ini.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close