Berita UtamaKata PedangUtama

MARHABAN YA RAMADAN

Kun Rabbaniyyan, wala takun Ramadaniyyan

MALAM ini umat Islam akan menunaikan Solat Tarawih sempena masuknya 1 Ramadan 1439H dan akan berpuasa sebelum terbit fajar esok pagi.

Alhamdulillah dan tahniah Pedang ucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya.

Nampaknya, Allah masih memberi kita peluang untuk merebut pelbagai ganjaran yang telah dijanjikan di bulan mulia ini.

Di dalam bulan yang satu-satunya disebut dalam al-Quran ini, kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh seperti membaca al-Quran, solat malam (tarawih dan qiyamullail), bersedekah, beriktikaf dan merebut malam al-Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Ada ulama berpesan: “Kun Rabbaniyyan, wala takun Ramadaniyyan”.

Maksudnya, janganlah menjadi hamba Ramadan, hanya sibuk beribadah pada bulan ini, tetapi tidak istiqamah selepas masuk bulan Syawal.

Jadilah hamba Allah yang konsisten beribadah sepanjang tahun.

Kefahaman daripada pesanan ini ialah istiqamah dalam beribadah. Tetapi jangan pula ada yang salah faham lalu berkata: “Tak perlulah aku sibuk-sibuk beribadah, bertarawih, bertilawah macam orang lain, biarlah amalanku sedikit di bulan Ramadan ini. Sebab nanti apabila masuk Syawal, dah pasti aku tak rajin nak teruskan ibadah-ibadah tu, sama seperti sebelum Ramadan.”

TUJUH MANIFESTO RAMADAN. KREDIT – INDAHNYA ISLAM

Bukan begitu.

Kita sedar amalan kita tak banyak mana jika nak dibandingkan salafus soleh zaman dahulu. Datangnya Ramadan dengan pelbagai keberkatan dan gandaan pahala adalah peluang untuk kita rebut dan berubah menjadi lebih baik.

Mengapa kita berfikir tak boleh istiqamah selepas Ramadan? Adakah ilmu kita mengatasi ilmu Allah, kita tahu apa bakal berlaku Syawal nanti?

Mengapa kita tidak berfikir bahawa kita boleh istiqamah? Mengapa jiwa kita masih lemah dan kalah sebelum berjuang?

Pembaca sekalian, tak kisahlah bagaimana keadaan kita sebelum masuk Ramadan. Apa yang pasti, Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Berapa ramai kenalan, rakan, saudara mara kita yang telah meninggal dunia sebelum datangnya Ramadan tahun ini?

Seharusnya kita bersyukur kerana dipilih Allah berpeluang merasai kemanisan ibadah di bulan mulia ini.

Ingatlah hadis-hadis kelebihan Ramadan sebagai pencetus semangat kita menjadi lebih baik.

Andai kita bermalas-malasan di negara yang serba cukup ini, bayangkan bagaimanakah saudara seakidah kita di Palestin, Syria, Yaman, Iraq dan negara-negara lain yang dilanda krisis menyambut Ramadan?

Kata Pedang: Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi. Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua pembaca setia Ismaweb.net.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net dan tidak ada kena mengena dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close