Berita UtamaUtama

Malaysia akan hubungi beberapa negara dapatkan balik wang 1MDB

Tindakan ke atas Najib akan diambil jika cukup bukti : Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Kerajaan Malaysia akan menghubungi beberapa negara bagi mendapatkan balik dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana jumlahnya yang besar boleh menyelesaikan beberapa jenis hutang, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penting bagi kerajaan mendapatkan balik wang yang masih ada di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan mungkin juga di Luxembourg, dengan jumlah yang agak besar dianggarkan US$4.5 bilion berada di Amerika Syarikat.

“Dahulu, tidak ada pengakuan daripada kerajaan (pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bahawa duit ini berasal dari 1MDB dan dibersihkan di Amerika Syarikat. Oleh kerana, tiada pengakuan duit itu adalah duit Malaysia, maka tiada tuntutan dibuat.

“Jadi, kita hendak buat kenyataan duit ini kepunyaan Malaysia, dan kita akan pohon supaya mereka bagi balik duit ini kepada Malaysia. Jumlah agak besar dan akan menolong kita selesaikan beberapa jenis hutang,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, perkara utama yang mendapat perhatian kerajaan adalah isu rasuah khususnya 1MBD dan juga wang-wang yang telah diselewang oleh kerajaan lama.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mendapatkan taklimat daripada pihak polis serta Ketua Audit Negara dan telah membaca laporan pengauditan 1MDB yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka.

“Kita akan mengambil tindakan dan jika perlu, kita akan membuat laporan polis. Apabila sampai tahap, kita boleh membuat tangkapan, kita akan tangkap mereka yang bersalah. Untuk ini, tidak ada perbezaan antara orang yang tertentu untuk didakwa,” katanya,

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamed dalam satu kenyataan berkata laporan pengauditan 1MDB yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.

Dr Mahathir berkata terpulang kepada polis untuk memanggil Najib bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Ditanya sama ada bukti mencukupi bagi mendakwa Najib, Dr Mahathir berkata, jika mempunyai bukti yang cukup, tindakan boleh diambil.

Kepada soalan sama ada Najib dikenakan tahanan rumah, Perdana Menteri berkata, Najib hanya tidak dibenarkan ke luar negara.

Kepada soalan sama ada Najib diberikan imuniti, Dr Mahathir berkata, “Kita akan ikut kedaulatan undang-undang dan undang-undang terpakai kepada setiap orang tanpa mengira beliau pernah menjadi perdana menteri.”

Ditanya sama ada kerajaan sekarang akan menanggung hutang 1MDB, Dr Mahathir menjawab:

“Ya, kita perlu menanggungnya. Jika hutang itu memberi implikasi kepada kerajaan, kita perlu bayar. Jika tidak kita akan disaman dan dijadikan bankrap.”

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, mana-mana pihak yang ditangkap tidak akan disoal siasat sehingga jam 4 hingga 5 pagi seperti dahulu.

“Saya ingin menjelaskan unsur penderaan dan sebagainya, tidak boleh diadakan. Mereka perlu disoal (dalam tempoh) masa munasabah dan bukannya pada 4 pagi atau 5 pagi atau disimpan dalam bilik gelap. Ini semua amalan polis.

“Banyak cerita (didengar tentang mereka) yang telah ditangkap dan dikenakan pelbagai jenis dera. Kalau ada kematian, kita akan adakan inkues seperti (termaktub) di bawah undang-undang,” kata Dr Mahathir.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close