Berita UtamaUtama

Kerajaan negeri akan perincikan pembinaan Universiti Johor

Jamin pelaksanaan dalam tempoh lima tahun seperti dijanji dalam manifesto

JOHOR BAHRU, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Kerajaan Johor yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan secara terperinci pelaksanaan dan pembangunan ‘Universiti Johor’ bagi memastikan negeri ini terus dapat melahirkan masyarakat yang berpendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, perkara berkenaan akan diperhalusi lebih lanjut pada mesyuarat Exco akan datang memandangkan ia antara janji utama dalam manifesto PH Johor.

“Kita akan melaksanakan perkara ini dalam tempoh lima tahun sepertimana dijanjikan dalam manifesto kita di mana Universiti Johor ini bukan sahaja akan menawarkan pengajian di peringkat diploma, malah ijazah sehingga ke peringkat lebih tinggi turut ditawarkan.

“Kita akan bawa perkara ini ke peringkat kerajaan pusat untuk penubuhannya,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Guru di Maktab Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri hari ini, berkata demikian ketika diminta mengulas perkara pertama yang akan dilaksanakannya setelah dilantik menerajui portfolio tersebut.

Justeru, Aminolhuda menyeru anak-anak Johor yang mahu melanjutkan pelajaran supaya mengambil peluang untuk turut serta dalam penubuhan universiti itu, sekali gus dapat meningkatkan lagi pencapaian diri mereka dalam bidang akademik.

“Pendekatan kita laksanakan juga akan jauh berbeza kerana kita tidak mahu lagi mengamalkan cara pembelajaran berorientasikan peperiksaan tetapi lebih kepada melahirkan graduan yang mempunyai sahsiah berketrampilan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik cadangan mewujudkan jawatan Pembantu Pengajar sepertimana diumumkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam Perutusan Hari Guru 2018, semalam.

Aminolhuda berkata, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman berkenaan memandangkan tugas-tugas yang dipikul guru pada masa ini semakin banyak selain membantu guru lebih fokus terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Melalui pendekatan ini, guru-guru hanya perlu fokus mengajar dan tidak lagi melakukan kerja-kerja perkeranian kerana ia akan dilakukan Pembantu Pengajar.

“Pelaksanaan perkara ini juga memerlukan masa kerana kita perlu mengambil sampel daripada luar negara dan melihat cara terbaik bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam negara kita,” katanya.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close