Berita UtamaUtama

GST pada kadar sifar mulai 1 Jun

Peniaga diingatkan patuhi penetapan baharu kerajaan

BANGI, 30 Syaaban 1439H, Rabu – Tiada sebarang cas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada rakyat Malaysia, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan telah menetapkan kadar sifar peratus, berbanding 6 peratus kadar standard GST yang dikenakan sejak 1 April 2015.

Menurut kementerian itu, kadar sifar berkenaan ditetapkan ke atas bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia, termasuk import.

“Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecuali dari GST,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan mengingatkan semua peniaga yang berdaftar supaya mematuhi penetapan baharu yang ditetapkan kerajaan.

“Pada masa sama, peniaga yang berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan antaranya berkenaan pengeluaran inbois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input.

“Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa.

“Untuk penjelasan lanjut, sila hubungi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1 300 88 8500 atau 03-78067200 (Pusat Panggilan Kastam),” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close