Berita UtamaDuniaUtama

Turki arah diplomat di AS, Tel Aviv pulang

Ankara isytihar tiga hari berkabung tanda solidariti terhadap Palestin

ANKARA, 29 Syaaban 1439H, Selasa – Turki memanggil pulang dutanya di Israel dan Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda bantahan terhadap insiden pembunuhan 37 rakyat Palestin di sempadan Gaza, semalam.

Timbalan Perdana Menterinya, Bekir Bozdag berkata, diplomat Turki di Washington dan Tel Aviv akan kembali semula ke negara itu untuk perundingan.

Beliau turut mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung negara itu sebagai tanda solidariti terhadap kejadian yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Bozdag berkata, Ankara turut menggesa sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan minggu ini – berkemungkinan pada hari Jumaat – dan mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung salah guna kuasa rejim pengganas Israel.

Tragedi berdarah di sempadan Gaza semalam berlaku dalam tempoh satu jam selepas rejim Israel melepaskan tembakan peluru hidup, gas pemedih mata dan bom api ke arah kumpulan penunjuk perasaan Palestin di sepanjang pagar sekatan.

Tindakan kejam rejim berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh dan lebih daripada 2,700 orang cedera sepanjang tempoh perarakan besar-besaran ‘Great March of Return’ yang diadakan sejak 30 Mac lalu.

Perarakan berkenaan adalah bagi memperingati hari Nakba atau bencana yang jatuh pada 15 Mei, di mana ratusan ribu penduduk Palestin menjadi pelarian selepas penubuhan Israel pada 1948.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close