Ir Muhammad Lukman Al HakimKolumnis

Relevan sebelum dan selepas

1. SERUAN #UndiCalonMuslimBerwibawa adalah bertujuan supaya rakyat menghantar sebanyak mungkin pemimpin Muslim berwibawa ke Parlimen untuk bersepakat memperjuangkan isu kedaulatan Islam dan Melayu merentas blok parti politik

2. Keputusan PRU14 menunjukkan seruan ini dipandang sepi. Rakyat masih selesa memilih parti tanpa mengira kualiti dan latarbelakang calon yang dipertandingkan. Ini dapat dilihat dengan sangat jelas di banyak DUN dan Parlimen. Umat Islam masih memilih calon bukan Islam walaupun terdapat calon Muslim yang bertanding

3. Akibatnya, bilangan Ahli Parlimen bukan Islam dalam Dewan Rakyat semakin meningkat berbanding sebelum ini. Atau mungkin telah menjadi majoriti berbanding Ahli Parlimen Islam, entah saya kurang pasti. Padahal rakyat Malaysia yang beragama Islam mewakili 61.3% daripada keseluruhan penduduk Malaysia (Jabatan Perangkaan, 2010) dan kian meningkat saban tahun

4. Suasana getir di beberapa buah negeri juga menyaksikan beberapa orang ADUN melompat parti (6 di Sabah, 2 di Perak & 3 di Johor). Bagi saya ini adalah pengkhianatan terbesar terhadap amanah atau mandat yang diberikan oleh rakyat. Sudahlah rakyat memilih berdasarkan parti, selepas menang calon yang tidak berintegriti ini pula sesuka hati menukar parti kepada parti lawan. Ini membuktikan betapa pentingnya integriti dan kebolehpercayaan calon diambil kira sebelum rakyat mengundi

5. Alasan yang diberikan amatlah mudah, iaitu untuk manfaat rakyat supaya tidak terpinggir disebabkan berada di kawasan pembangkang. Alangkah baiknya jika para pemimpin bersepakat memperjuangkan isu rakyat merentas blok parti politik. Dengan semangat ini, sudah tentu parti yang memerintah negara atau negeri akan memberikan peruntukan yang sama kepada setiap kawasan samada dimenangi oleh mereka atau tidak. Persoalannya, kerajaan berkhidmat untuk rakyat atau hanya untuk penyokong parti politik sendiri?

6. Ini sekali lagi membuktikan betapa pentingnya integriti dan kebolehpercayaan calon diambil kira sebelum rakyat mengundi. MB Kedah yang baharu, Dato’ Mukhriz sebagai contoh menjanjikan peruntukan yang serupa kepada ADUN pembangkang di negeri pimpinan beliau. Tindakan ini wajar dicontohi semua, termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS. Jika tidak, apa bezanya kerajaan baharu ini dengan BN yang telah jatuh menyembah bumi?

7. Bercerita tentang BN, setelah terjatuh dan ditinggalkan pemimpin nombor satu, mereka mula mencari rakan kongsi. Kini mereka sanggup berbincang dengan pihak kerajaan atau pembangkang untuk sebarang kerjasama politik. Walaupun saya meragui keikhlasan mereka namun usaha ini bagi saya adalah bagus untuk manfaat umat. Persoalannya, kenapa setelah kalah baru terhegeh-hegeh mahu berbincang dan melakukan persepakatan politik dengan pihak berlainan parti? Bukankah ini seruan yang telah lama dilaungkan dulu?

8. Beralih kepada kerajaan baharu yang terbentuk, PM ke-7 Tun Mahathir sendiri secara terus terang menyatakan barisan pimpinan yang terpilih kurang pengalaman mentadbir negara. Ini bukti seterusnya betapa pentingnya kemahiran tadbir urus dan kelayakan calon diambil kira sebelum rakyat mengundi. Kasihan Tun, banyak masa terpaksa diambil untuk membentuk kabinet baharu. Bahkan Council of Elders yang terdiri daripada individu penuh wibawa dalam bidang ekonomi terpaksa ditubuhkan bagi menampung kekurangan dalam kapasiti kerajaan sedia ada

9. Namun bagi saya kemahiran tadbir urus adalah perkara kedua. Apa yang lebih penting ialah integriti, kejelasan agenda perjuangan, kemahuan serta pengorbanan. Jika kualiti ini ada dalam diri menteri-menteri kabinet yang dilantik, saya yakin mereka mampu belajar dengan cepat dan mentadbir negara walaupun kurang berpengalaman

10. Bercakap tentang integriti, kejelasan agenda perjuangan, kemahuan serta pengorbanan, saya kita sebahagian Ahli Parlimen BN juga mempunyai kualiti ini. Tak salah kiranya jika Tun Mahathir melantik mereka sebagai menteri kan? Jika Tun rasa enggan, apa bezanya kerajaan baharu ini dengan BN yang telah jatuh menyembah bumi?

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad 

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close