Dunia

Gempa bumi 6.8 magnitud cetus amaran tsunami di Taiwan

Bangunan bertingkat runtuh, gerabak kereta api tergelincir

TAIPEI, 22 Safar 1444H, Ahad – Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda bahagian tenggara Taiwan pada Ahad sehingga mencetuskan kepada amaran tsunami.

Biro cuaca berkata, pusat gempa berada di daerah Taitung dan gegaran susulan dengan kekuatan 6.4 magnitud dilaporkan di kawasan sama, namun tiada berlaku kemalangan jiwa.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beberapa kerosakan dilaporkan termasuk mengakibatkan gerabak kereta api tergelincir.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengukur kekuatan gempa pada 7.2 magnitud dan kedalaman 10 kilometer (km).

Media Taiwan berkata, sebuah bangunan bertingkat menempatkan kedai serbaneka runtuh dan kerja menyelamat telah dimulakan bagi mengeluarkan mangsa terperangkap.

Selain itu, Pentadbiran Kereta Api Taiwan turut mengesahkan tiga gerabak tergelincir dari landasan di stesen Dongli dan 20 penumpang telah dipindahkan.

Pusat Amaran Tsunami AS mengeluarkan amaran tsunami di Taiwan.

Katanya, gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam jarak 300km dari pusat gempa di sepanjang pantai Taiwan.

Difahamkan, gempa itu turut dirasai seluruh Taiwan dan bangunan di Taipei dilaporkan merasai gegaran.

Agensi cuaca Jepun juga mengeluarkan amaran gelombang tsunami setinggi satu meter untuk sebahagian wilayah Okinawa berikutan gempa bumi itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button