Berita UtamaPRU14Utama

Apa nasib pelaburan China?

SCMP kata 134 bilion sebab untuk Dr Mahathir tak nilai semula projek China

BANGI, 29 Syaaban 1439H, Selasa – Selama beberapa tahun lalu, pegawai-pegawai Malaysia dan China bergembira dengan kerjasama ekonomi yang menjadi cita-cita tinggi mereka. Namun, buat masa ini, sekurang-kurangnya kegembiraan itu sudah berakhir.

Sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke tujuh, malah dalam ceramah di seluruh negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sering mengkritik perjanjian pelaburan China. Namun, kini beliau berada di tengah-tengah perjanjian itu selepas menjadi Perdana Menteri.

Dan sekarang, semua mata khusus bangsa Melayu yang turut membantah penyerahan tanah kepada syarikat China oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak, sedang melihat sama ada Dr Mahathir akan mengotakan apa yang dikatanya.

Sebelum ini, beliau juga pernah berkata bahawa beliau akan mengkaji semula semua projek berkaitan China di negara ini, sekali gus membunyikan loceng awal kepada penganalisis dan ahli ekonomi membuat andaian.

Dengan banyak pandangan kejayaan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang baru berlalu akan memberi ancaman kepada pelaburan China, prospek ekonomi jangka panjang kekal positif. Hubungan dagang antara Kuala Lumpur dan Beijing pula berjalan seperti biasa, lapor South China Morning Post (SCMP).

Antara pelaburan besar China yang kerap mendapat perhatian Dr Mahathir ialah Forest City di Johor. Beliau sendiri bukan sahaja kecewa kerana kerajaan Najib memberikan hak milik kekal kepada pembeli projek mewah Forest City berkenaan, malah bergambar di salah satu papan tanda yang ada di Forest City.

Mengulas mengenainya Dr Mahathir berkata:

“Penghuni Forest City boleh tinggal kekal di Forest City kerana mengikut undang-undang Malaysia selepas 12 tahun mereka berhak menjadi warganegara Malaysia termasuk hak mengundi. Tiada jaminan ini tidak akan berlaku, bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan.

“Malaysia amat pemurah. Siapa sahaja boleh tinggal di sini. Sejak merdeka, sudah 700,000 kerakyatan diberi kepada orang asing. Benarlah Malaysia ini negara berbilang kaum dan dengan izin Najib ia boleh jadi lebih berbilang kaum.”

Patutkah pelabur China di Forest City bimbang dengan kemenangan Dr Mahathir dalam PRU14 lalu?

Pada sidang media sehari selepas PH mencapai kemenangan dalam PRU14 dan ketika ditanya wartawan, beliau berkata:

“Kita perlu mengkaji semua perkara yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini. Bukan sahaja mengenai China, ia mengenai semua perkara. China mempunyai pengalaman panjang dalam menangani perjanjian yang tidak sama rata.”

SCMP melaporkan, berikutan keputusan pilihan raya yang tidak dijangkakan, spekulasi mula berleluasa. Fidelity International memberi amaran kepada pelabur bahawa pemimpin baharu akan melihat kembali rangka projek infrastruktur berskala besar. Tetapi pakar perunding Economist Intelligence Unit, Fung Siu berpendapat sebaliknya.

“Sebarang kajian semula pelaburan China adalah dalam skala yang kecil. Retorik Dr Mahathir adalah sukar, tetapi beliau dan anggota Kabinetnya perlu melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekonomi sebelum membuat keputusan ini,” kata Fung Siu.

Bagaimanapun, menurut SCMP, kecil atau besar, buat masa sekarang penilaian semula projek itu akan menimbulkan ketidakpastian mengenai masa depannya dan ini akan mengurangkan keyakinan pelabur.

Alexious Lee, penganalisis bank pelaburan CLSA di Hong Kong berkata, walaupun boleh diterima bahawa hubungan Sino-Malaysia akan meningkat pada jangka masa panjang, kajian semula semua projek China itu akan melewatkan projek berkenaan dan meminda syarat perjanjian asal dan bakal mencetuskan kebimbangan pasaran jangka pendek.

Penganalisis Capital Economics, Alex Holmes bersetuju dengan pendapat itu.

“Kejayaan Dr Mahathir menimbulkan persoalan kepada beberapa projek pelaburan yang dirancang syarikat yang disokong China. Pada tahun-tahun berikut akan menyaksikan pelaburan akan bergerak perlahan,” kata Holmes.

AS$134 bilion dalam risiko

Dalam beberapa tahun kebelakangan, pelaburan dari China menggegarkan Malaysia, sehingga menjadi negara keempat terbesar menerima pelaburan langsung luar negara secara terus, meningkat daripada kedudukan ke 21 pada 2015, lapor Economist Intelligence Unit.

Memetik laporan SCMP, DBS Bank pula menganggarkan, tahun lalu sahaja, AS$2.36 bilion pelaburan China dibawa masuk ke Malaysia.

Dan lebih banyak wang China bakal dibawa masuk jika kerajaan Najib kekal berkuasa. Projek landasan kereta api dan pelabuhan sahaja dijangka menerima AS$101 bilion dalam dua dekat akan datang, kata Citi Research.

Berdasarkan data dikumpul This Week in Asia daripada 11 projek berprofil tinggi dan kontroversi ditandatangani ketika pentadbiran Najib, sejumlah AS$134 bilion pelaburan China, berdepan pengawasan ketat kerajaan baharu di bawah Dr Mahathir.

Projek-projek itu, membabitkan 13 syarikat China dan institusi kewangan, termasuk pembangunan hartanah, pembinaan infrastruktur dan kawasan loji perindustrian berskala besar. Kebanyakannya ditandatangani sejak lima tahun lalu dan masih pada peringkat pembinaan.

Salah satunya ialah projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, yang mana 85 peratus pinjaman mudah disediakan oleh China Export-Import Bank (Exim Bank). Dan, ketika kempen PRU lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau akan membatalkan projek itu.

Bagaimanapun, setakat ini syarikat pelaksana projek itu, China Communications Construction Company (CCCC) berkata, mereka belum menerima apa-apa notis daripada kerajaan baharu Malaysia.

“Kami memantau situasi itu,” kata wakil pejabat perhubungan pelaburan CCCC di Beijing.

Country Garden, syarikat hartanah gergasi China yang berada di belakang projek Forest City di Johor, enggan mengulas. Dijangka siap pada 2035, projek pembangunan bercampur bernilai AS$100 bilion dibina di atas empat pulau buatan berdekatan Singapura, adalah antara projek dari China yang mendapat tentangan hebat Dr Mahathir.

Keputusannya untuk mengkaji semula pelaburan China dibuat tatkala Beijing menggesa Malaysia untuk terus memberi sokongan kepada projek pembangunan membabitkan syarikat China.

“China dan Malaysia adalah rakan. Kerajaan China menghargai secara mendalam hubungan persahabatan dengan Malaysia. Hubungan Sino-Malaysia berada di landasan yang tepat dan memberi pulangan positif kepada kedua-dua negara.

“Ini adalah sesuatu yang patut dihargai dan disokong oleh kedua-dua pihak,” kata pula jurucakap Kementerian Luar China, sambil memuji Dr Mahathir sebagai ahli politik kanan yang memberi sumbangan penting dalam hubungan Malaysia-China.

Walaupun, kerap mengkritik pelaburan China, Dr Mahathir berkata, beliau bukan anti-China.

“Apa yang membimbangkan kami adalah sejumlah wang yang dipinjam oleh kerajaan (Malaysia). Kerajaan yang bertanggungjawab mesti cuba mengurangkan pinjaman, jika tidak, kita akan berada di dalam kedudukan yang tidak baik,” katanya Khamis lalu ketika ditanya mengenai nasib pelaburan China di Malaysia.

Kira-kira 85 peratus daripada AS$13 bilion nilai projek ECRL dibiayai oleh China melalui pinjaman mudah, manakala selebihnya daripada pemimpin Malaysia.

“Pinjaman itu boleh menjadi beban yang besar kepada negara ini,” kata Dr Mahathir.

Landasan ECRL seperti mana pelaburan China yang lain di Malaysia, adalah sebahagian daripada projek One Belt One Road (OBOR) diilhamkan Presiden Xi Jinping – laluan sutera baharu menghubungkan Asia-Eropah-Afrika.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan OBOR, malah menyokongnya dan secara peribadi menulis surat kepada Jinping menyatakan wilayah ini memerlukan hubungan darat dengan Eropah dan meminta China menyediakan laluan kereta api yang baik untuk mengangkut barangan.

Walaupun, wujud keinginan untuk mendapatkan bantuan Cina, kebimbangan mengenai pelaburan China juga muncul. Sesetengah rakyat Malaysia mengkritik Forest City dan projek hartanah lain yang dibangunkan syarikat China untuk pembeli dari China sebagai sejenis neo-kolonialisme.

Yang lain menuduh Najib menyenangkan Beijing apabila mengecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada CCCC, sedangkan rakyat Malaysia sendiri dikenakan cukai itu.

CCCC mendakwa bahawa pengecualian cukai itu bertujuan menurunkan kos keseluruhan projek landasan kereta api berkenaan, bagi membantu rakyat Malaysia.

Pertikaian mengenai projek kereta api itu mungkin membawa kepada rundingan semula, tetapi tidak mungkin ianya ditamatkan, kata penyelidik pelaburan luar China di University of International Business and Economics di Beijing, Lu Jinyong.

“Satu-satunya yang akan berubah ialah syarat kontrak. Lagipun, projek kereta api itu akan membantu meningkatkan pembangunan Malaysia,” katanya.

Ini bukan kali pertama pelaburan China terganggu berikutan perubahan kepemimpinan sesebuah negara. Pada 2015 lalu apabila bekas Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa – sekutu kuat Beijing – kalah pada pilihan raya negara itu, kerajaan baharu menggantung projek hartanah bernilai AS$1.4 bilion, yang juga dibangunkan CCCC, dengan dakwaan bahawa berlaku kecuaian dalam permit dan kelulusan.

CCCC kemudian mendapatkan kelulusan baharu untuk menyambung semula pembinaan setahun kemudian selepas memenuhi syarat tambahan.

Ramai yang percaya bahawa Dr Mahathir juga akan mengkaji semula projek China di Malaysia dan mengambil tindakan yang sama.

Penganalisis Global Risk Insights di London, Peter Hays berkata:

“Dr Mahathir mungkin berusaha memastikan bahawa pelaburan adalah kukuh, tetapi, akhirnya beliau akan teragak-agak untuk mengetepikan apa-apa perjanjian dengan cara yang tidak mendatangkan kebaikan kepada pelaburan masa depan Malaysia.”

“China telah bangkit menjadi kuasa ekonomi terbesar di rantau ini. Malaysia di bawah kerajaan baharu tidak boleh mengetepikannya,” kata Profesor Sains Politik Universiti Lingnan di Hong Kong, Zhang Baohui.

Felo utama Institut Yusof Ishak di Singapura, Tan Siew Mun, pula berkata, kerajaan baharu Malaysia tidak mahu menjejaskan hubungan ekonomi dengan Beijing.

“Bagi Dr Mahathir, untuk mengkaji semula semua pelaburan China di Malaysia bukan bermakna kerajaan baharu tidak mengalu-alukan penyertaan China dalam ekonomi Malaysia.

“Keutamaan kerajaan baharu Malaysia adalah untuk memperbetulkan keadaan tidak normal dalam perjanjian yang membabitkan pihak luar dan memastikan projek mega seperti ECRL, benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya. – SCMP

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close