Berita Utama

PDRM tangkap individu kuarantin gagal jalani saringan COVID-19 ke-2

Individu pulang dari luar negara diperintah kuarantin wajib 14 hari

BANGI, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kerajaan memutuskan semua individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kuarantin wajib yang bermula 24 Julai lalu itu, dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dan warganegara asing yang masuk ke negara ini.

Beliau berkata, individu yang diperintah kuarantin wajib perlu menanggung sepenuhnya kos berkenaan, termasuk ujian saringan COVID-19.

“Sehingga kini, seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Mereka telah pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mulai esok juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah, individu-individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua bagi kuarantin rumah.

“Individu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua,” katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan, dua lagi kluster baharu dikesan iaitu Kluster Bukit Tiram di Johor dan Kluster Syarikat Pembinaan di Kuching.

Lebih buruk lagi, apabila Kuching diisytiharkan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes baharu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button