Kata PedangUtama

Pokok tumbang beruk lari

BN, UMNO sudah jadi '3rd class party', PAS nombor dua

TAHNIAH Pedang ucapkan kepada yang menang dalam PRU14 lalu. Janji kepada rakyat hendaklah ditunaikan. Sebab itu adalah janji yang dibawa ke mati. Semua agama percaya ada kehidupan kedua selepas mati dan pada masa itu janji yang mereka tidak tunaikan, akan dituntut.

Kepada yang kalah, muhasabah lah diri. Perhatikan kenapa boleh kalah. Lihat dari sudut agama, kenapa boleh kalah. Ya! Kekalahan itu adalah takdir Allah Subhanahu Wa Taala. Namun, untuk mendapat pahala daripada Allah, kenalah berusaha, berdoa dan bertawakal.

Berusaha sedaya mungkin dengan jalan yang baik – dapat pahala. Berdoa bersungguh-sungguh – dapat pahala. Bertawakal kepada Allah – dapat pahala. Tapi bukan ketika musim nak bertanding saja baru nak berusaha, berdoa dan tawakal. Baru nak tunjuk pada orang, ambil gambar hadir di surau atau masjid.

Pedang ada kawan yang bertanding dalam PRU14 lalu di pihak pembangkang. Dua puluh tahun lebih Pedang kenal dia masa dia belum terbabit dalam politik lagi. Pujian kepadanya Pedang beri sebab dari sejak Pedang kenal dia, dia memang kuat solat lima waktu, kuat solat sunat dan kuat solat tahajud.

Dia teruskan amalan harian kepada Allah, terima qada dan qadar Allah. Redha segala-galanya. Dan, Allah mengujinya hingga hari ini dengan memberi kemenangan, untuk melihat adakah dia akan terlupa kepada amalannya. Lalu jadilah dia seorang Yang Berhormat dalam pembentukan kerajaan baharu di sebuah negeri.

Pedang tahu kesusahan dialaminya selepas disingkir daripada kerajaan dulu, tapi dia tabah. Pedang tak tahu dia ikhlas atau tidak, sebab hanya Allah yang tahu ikhlas atau tidak.

Dia tahu susah Pedang untuk berjumpa dia masa kempen PRU, hingga masuk ke pedalaman. Pedang tahu dia pun tak banyak duit macam pihak satu lagi. Tapi dia hulurkan juga RM100 kepada Pedang untuk duit minyak. Pedang tolak berkali-kali, tak sanggup nak terima duit daripada kawan yang perlukan wang untuk berkempen.

Dia menang dan berusaha, berdoa dan bertawakal diteruskan seperti biasa. Dan dia tak lupa kepada sesiapa yang membantunya. Alhamdulillah.

Itu kisah orang yang berusaha kerana Allah, berdoa kepada Allah dan bertawakal kepada Allah. Apa yang dilakukan kerana Allah dan membantu kehidupan rakyat.

Ada pula kisah lain. Lepas PRU14, sebagaimana semua maklum ada negeri-negeri yang sukar membentuk kerajaan negeri apabila kerusi parti-parti yang bertanding terikat atau hanya lebih satu dua kerusi. Lalu, berlaku lah lompatan ke parti yang mereka rasa lebih baik daripada parti yang mereka wakili.

Pedang tertarik dengan tulisan yang katanya daripada seorang profesor sebuah universiti awam, selepas PRU14 berakhir. Tajuk tulisan dia, Pedang guna sebagai tajuk Kata Padang kali ini sebab menarik. Ianya ditulis oleh seseorang yang menggunakan nama Prof Dr Abd Muati UPM.

Pedang petik tulisannya:

POKOK TUMBANG BERUK PUN LARI

Itulah kata-kata orang tua-tua untuk menggambarkan keadaan politik dlm negara kita sekarang. BN yang telah memerintah sejak PRU pertama 1955 akhirnya tewas pada 2018 di tangan rakyat.

Di sana-sini kedengaran suara-suara dari saf kepemimpinan UMNO sendiri meletakkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Najib di atas kekalahan tak terduga BN ini.

Masing-masing mahu mencuci tangan dan menunding jari kepada presiden parti. Soalnya selama ini di mana mereka ini? Apa yang mereka buat dalam parti dengan jawatan yang mereka sandang itu? Kenapa bila kalah semua tidak mahu mengaku bertanggungjawab? Apakah ini ciri kepemimpinan yang diasuh UMNO?

Khabarnya ramai pemimpin, wakil rakyat dan ahli UMNO akan berpindah ke PH. Ada yang kata demi rakyat dan demi negara/negeri. Soalnya ada hargakah puak-puak ni?

Mereka inilah yang berdiri teguh menyokong polisi kerajaan lalu. Di mana kepentingan rakyat pada waktu itu? Tapi apabila kerajaan lalu jatuh mereka mahu lari dan berpindah ke kerajaan baharu.

Yang nak diutamakan bukan kesejahteraan rakyat tetapi keselesaan hidup, kemewahan dan kesenangan yang mereka kecapi selama ini.

Bank akan mula mencari mereka tidak lama lagi. Rumah mewah, kereta mewah akan mula ditarik satu persatu. Inilah mimpi ngeri mereka.

Jadi untuk mengelaknya tiada cara lain melainkan dengan menyertai kerajaan yang menang.

Harapnya pihak yang menang jangan terima mereka dengan mudah. Menerima mereka ke dalam parti akan membawa masuk penyakit lama BN ke dalam PH. Akhirnya PH akan jadi jelmaan BN.

Menerima mereka ke dalam PH akan menyebabkan ahli-ahli PH luka hati dan kecewa. Hormatilah pandangan dan perasaan ahli yang telah berjuang dan berhadapan dengan pelbagai penderitaan akibat perbuatan mereka ini.

Biarlah mereka melalui pengalaman jadi pembangkang supaya mereka lalui perit getir dan akhirnya bertaubat.

Itulah coretan profesor berkenaan. Pedang dan kawan-kawan Pedang sebelum ini sudah peringatkan BN supaya mengubah pendekatan, tapi kerana yakin selepas melihat diri sendiri di dalam cermin, maka berakhirlah riwayat memerintah negara.

Pedang dan rakan-rakan pun sudah buat jangkaan bahawa BN/UMNO akan kalah besar dan menjadi parti taraf tiga (3rd class party), selepas PAS. PAS walaupun tidak banyak menang kerusi Parlimen, tetapi pada peringkat negeri, telah berjaya menawan sebuah lagi negeri.

Pedang bagi pendapat (setelah membuat kajian mendalam), tapi rakan-rakan dalam ‘bilik perang’ anggap remeh. Mereka lebih memihak kepada kajian golongan atasan cerdik pandai yang mengatakan BN akan menang 2/3. Lalu, mereka pun lalai dan kesempatan ini diambil oleh ‘bilik perang’ pihak satu lagi.

Bagi Pedang dan rakan-rakan, kami berpendapat PAS kalah kerana kesilapan mengira ‘miscalculation’. Tapi, PAS bakal memberi saingan sengit pada 2023 atau PRU15, jika kena caranya.

Cuma belanjanya kena lebih, jangan kedekut mengupah kumpulan bertindak pemikir, terdiri daripada mereka yang tidak dikenali, bukan yang dicadangkan oleh orang dalam PAS sendiri. Bukan ambil mereka yang berpendidikan PhD atau ijazah saja untuk membuat kajian. Mereka ini buat kajian atas kertas saja. Tapi ambil mereka yang ada di bawah. Yang sanggup turun bermain lumpur sekian lama. Biar mereka hanya ada SRP atau SPM, tapi mereka hebat memikirkan strategi.

Kalau kita bersiap, memakai baju, seluar, bertali leher, dan kemudian berdiri depan cermin melihat diri sendiri, tentulah segala-galanya baik. Sedangkan, pada pandangan orang lain, ada kesilapan. Mungkin warna baju tak sesuai dengan warna seluar, atau rambut tidak disikat rapi dan kemas.

Demikianlah hakikatnya jika pemimpin sudah bergelumang dengan kemewahan dan tidak mempedulikan rakyat yang dalam kesusahan dan kemiskinan, maka jadilah seperti kisah Firaun. Mereka dijatuhkan.

Kata Pedang: Ada kawan-kawan Pedang yang sebelum ini selesa berada di dalam GLC, enggan jawab panggilan telefon, enggan jawab mesej. Sebelum ini, mereka sentiasa mendongak melihat langit, tanpa mengetahui betapa dekatnya mereka dengan bumi.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close