Berita Utama

PAS anggap Muafakat Nasional masih kukuh

Kekal pendirian penyatuan ummah demi politik Melayu, Islam

BANGI, 28 Syaaban 1443H, Khamis – PAS menganggap hubungan dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) masih lagi kukuh, walaupun berdepan pelbagai isu yang timbul membabitkan kedua-dua parti itu.

PAS sehingga kini masih teguh dengan pendirian berhubung penyatuan ummah demi masa depan orang Melayu, demikian kata Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad.

“MN memang tidak pernah berpecah, pada kita mana yang lebih baik, pakat dua sahaja atau pakat tiga?

“Sudah tentu pakat ramai- ramai lagi baik. Jadi, kita mengharapkan agar masih berada pada tahap itu.

“Soal orang lain kata macam-macam pada kita, itu terpulanglah, PAS mengambil pendirian sebagai parti yang memilih penyatuan bagi masa depan politik orang Islam dan Melayu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Beliau dalam masa sama menegaskan untuk terus kekal bersama demi masa depan politik negara.

“Kena ingat juga yang masyarakat kita agak marginal, kalau orang lain boleh bersatu jadi satu kenapa pula orang kita hendak pecah tiga?

“Apa keadaan politik pada masa akan datang?” katanya.

Beliau turut menegaskan, buat masa ini tiada keperluan untuk PAS dan UMNO mengadakan perbincangan dalam perkara berkenaan.

“Setakat hari ini kita tidak bergaduh dengan UMNO, jadi macam mana mahu pergi pejabat kadi? Kita duduk baik dengan isteri, elok sahaja.

“Saya dengan orang UMNO tidak kira pimpinan kawasan jumpa di kawasan rehat dan rawat mahupun di Kabinet elok sahaja.

“Semasa kempen di Johor pun orang UMNO bayar makanan saya. Itu menunjukkan kita tiada masalah,” katanya.

Kemelut dalam MN semakin berlarutan berikutan pemimpin antara dua parti berkenaan masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button