Berita UtamaPRU14Utama

Kamarul Yusof letak jawatan Pengarah MAPAN UUM

Pernah beri 10 sebab kenapa Tun M tak boleh jadi Perdana Menteri

BANGI, 27 Syaaban 1439H, Ahad – Dr Kamarul Zaman Yusoff, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), berkuat kuasa, esok.

Mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi laman Facebooknya, beliau berkata, tindakan itu untuk memudahkan urusan semua pihak.

Beliau yang terkenal begitu lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum dan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, berkata, beliau, ahli keluarga dan rakan-rakannya dihujani pelbagai kenyataan mengenai kedudukanya, terutama apabila namanya didakwa antara mereka yang akan dikenakan tindakan.

“Setelah berlalunya PRU 14 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan, saya, malah ahli keluarga dan sahabat handai saya, dihujani dengan pelbagai pertanyaan mengenai keadaan saya ekoran tularnya berita bahawa saya adalah termasuk di dalam senarai mereka yang akan dikenakan tindakan kerana terlalu bersikap kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.

“Begitu juga dengan suara-suara di UUM sendiri yang mula lantang mempersoalkan kedudukan saya ekoran sikap kritikal saya tersebut. Bila akhbar Sinar Harian meminta dan menyiarkan, pada 10 Mei 2018, sesatunya komen saya selepas keputusan PRU 14 diumumkan, di bawah tajuk “PRU14 cermin kebencian rakyat terhadap Najib”, saya diperli pula oleh banyak pihak kerana kononnya membuat U-Turn.

“Tidak saya nafikan walau ke mana pun saya pergi selalunya saya akan ditegur oleh mereka yang saya tidak kenali di atas sifat saya selaku ahli akademik yang (kononnya) terkucil di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Wacana Sinar Harian pada 22 Mac 2018,” katanya.

Beliau juga sebelum ini pernah memberikan 10 sebab mengapa Dr Mahathir tidak layak menjadi Perdana Menteri membabitkan aspek legal, physical, genetical, mental, psychological, moral, demographical, intellectual, philosophical dan spiritual.

BACA: 10 sebab mengapa Tun M tak layak jadi PM: Dr Kamarul

Dr Kamarul bagaimanapun, tidak menafikan imej kritikalnya terhadap Dr Mahathir, tetapi tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam membuat komen, malah tidak bimbang dikenakan tindakan kerana rezeki adalah di tangan Allah.

“Malah, untuk memudahkan urusan semua pihak, saya dengan sukarela mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), UUM, berkuatkuasa pada hari pertama pejabat dibuka selepas PRU 14, iaitu 14 Mei 2018.

“Pada masa yang sama, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua warga UUM yang tidak selesa kerana beranggapan nama UUM dan nama mereka turut terjejas dengan tindakan saya yang kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan,” katanya.

BACA: Peletakan jawatan sebagai Pengarah MAPAM UUM

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close