Berita UtamaPRU14Utama

Dr Ahmad Samsuri angkat sumpah MB Terengganu

Adun Ru Rendang memiliki Doktor Falsafah Aero-Engine University of Leeds

KUALA TERENGGANU, 24 Syaaban 1439H, Khamis – Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang malam ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Ahmad Samsuri, 48, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan pemegang Doktor Falsafah Aero-Engine dari University of Leeds, United Kingdom.

Bapa kepada enam orang anak ini turut memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain antara penganalisis bagi insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17.

Beliau adalah antara calon yang dinamakan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu, selepas PAS berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam.

PAS mengulangi sejarahnya pada 1959 dan 1999 apabila berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN Terengganu, menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad dari PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad dari UMNO (1960-1970),

Datuk Mahmood Sulaiman dari UMNO (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman dari UMNO (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dari UMNO (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh dari UMNO (2004-2008), Datuk Seri Ahmad Said dari UMNO (2008-2014) dan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dari UMNO(2013-2018).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close