Berita UtamaKata PedangPRU14Utama

‘Nak baju raya baru tapi…’

Strategi perang saraf, satu propaganda boleh alihkan undi

BEBERAPA jam sahaja lagi menjelang hari yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Daripada budak sekolah hingga orang tua, tahu esok ‘hari raya’ kepada rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Hari di mana kerajaan, sama ada yang baharu atau lama, akan dipilih.

Jika ikut resam dunia pada hari perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali, kita semua nak sambut hari kebesaran, semua nak baru… baju baru, langsir baru, lapik kerusi baru, penutup meja makan baru.. serba serbi baru.

Esok pun ‘hari raya’ tapi hari raya ini berbeza dengan hari raya yang kita sambut setiap tahun. ‘Raya’ esok lima tahun sekali. ‘Raya’ esok tak perlu tengok anak bulan. Kalau nak raya puasa atau raya haji, tengok anak bulan – selalunya tak nampak. Tapi ‘raya’ esok, bulan berada di seluruh pelosok negara. Nampak jelas.

Poster ini menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan Syria sedang menekup peralatan oksigen ke muka adiknya, sedang dia sendiri terhidu gas sarin yang dilepaskan rejim Syria di Ghouta Timur. Kita di Malaysia meriah berdepan PRU14, jutaan ringgit ditabur, apa salahnya disumbangkan sedikit buat dua beradik ini. – Ismaweb.net

Tapi, esok adalah hari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), di mana 14,940,624 pemilih berdaftar akan mengundi memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi tempoh lima tahun akan datang. Pedang pun akan mengundi juga esok di kawasan Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga.

Jutaan pemilih berusia 21 tahun ke atas itu akan membuat penentuan siapa yang bakal menentukan kecemerlangan Malaysia dan tidak membebankan mereka.

Pedang nak cerita sikit pasal perang PRU. PRU14 ini adalah kali kelapan Pedang terbabit, tapi agak berlainan dengan PRU sebelum ini di mana Pedang pun jadi pasukan perang saraf, propaganda, gerak gempur dan susun strategi.

Sehinggalah pada PRU13, Pedang mengetuai satu unit propaganda bagi sebuah parti politik – menang lah parti itu, tapi bukan sebab unit Pedang saja, sebaliknya kerja sepasukan dan bagaimana terpengaruhnya rakyat dengan propaganda yang disalurkan kepada mereka.

Setiap parti yang bertanding dalam PRU mempunyai ‘war room’ atau ‘bilik perang’ yang menjadi saluran propaganda masing-masing. Di bilik itulah kumpulan pemikir menyusun pelbagai strategi untuk parti. Bukan menyusun strategi sahaja, tetapi mereka kena menyerang balas propaganda pihak lawan.

Kerja ini memang menyeronokkan kerana kita benar-benar menggunakan otak, akal fikiran untuk bertindak balas. Dan, kita akan berpuas hati jika ianya membuahkan kejayaan.

Namun, kebanyakan parti sekarang hanya mengambil ahli atau penyokong mereka sahaja menjadi kumpulan pemikir. Dan ini adalah kesilapan besar, kerana ahli parti sudah tentu akan memberi laporan yang baik-baik sahaja, sedangkan di akar umbi keadaannya berbeza.

Parti-parti ini enggan mengeluarkan belanja besar bagi mengupah kumpulan pemikir bebas tempatan untuk menyusun strategi buat mereka. Kumpulan bebas ini, sebenarnya lebih layak kerana mereka tidak memihak dan sentiasa turun ke akar umbi rakyat bagi mendapatkan maklumat dan menyalurkan propaganda.

Menjadi kumpulan pemikir, perang saraf atau penyusun strategi ini memang seronok, tapi beban kepada otak untuk berfikir agak teruk. Dan, propaganda, perang saraf ini sangat kejam.

Baru-baru ini, sebuah universiti menawarkan kepada anak perempuan Pedang untuk buat ijazah sarjana dalam ‘Psychological Warfare’ yang didalamnya ada subjek-subjek menyusun strategi, perang saraf dan propaganda. Tapi, Pedang kata pada dia, kalau mampu berfikir menggunakan kedua-dua belah otak, teruskan, tapi kalau otak kanan saja berfikir lebih baik jangan.

Sebab, gabungan daripada kekuatan otak kiri yang mengendalikan ‘intelligence quotient’, dan otak kanan yang berperanan mengembangkan ’emotional quotient’, mampu menghasilkan keputusan paling baik dalam pola pemikiran, sekali gus mencetuskan strategi yang sukar ditandingi.

Itu sikit sebanyak mengenai bilik perang dan gerak gempur parti yang bertanding.

Bagi PRU kali ini, Pedang tidak bekerja menjadi anggota perang saraf. Pedang bebas memberi pandangan, sama ada mengkritik atau mengampu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (Harapan) atau PAS. Semuanya Pedang lakukan demi kebenaran. Jika benar Pedang sokong, jika salah Pedang kritik, baik BN, Harapan atau PAS.

Harap-harap apabila dikritik, bolehlah diterima dengan baik dan mengkaji kritikan itu untuk memperbetulkan strategi parti masing-masing. Pedang pun kritik BN, kritik Harapan dan kritik PAS. Jadikan apa yang Pedang kritik sebagai cabaran, bukan mengutuk Pedang mengalih perhatian kepada isu lain. Ini tidak memberi manfaat.

Kalau Pedang kritik dan dibalas dengan mengutuk Pedang, nampak sangat yang mengutuk Pedang itu tidak boleh menerima hakikat – dalam kata lain otak beku dengan pegangan bahawa parti mereka benar belaka. Dan ini adalah sesuatu yang berbahaya bagi masa depan parti itu.

Pedang kritik ada fakta. Contohnya, konon ramai yang berkata PAS akan membantu BN/UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat atau negeri kali ini, jika kedua-dua parti itu tidak mendapat majoriti.

Persoalan yang ingin Pedang bangkitkan ialah, bolehkah PAS menerima BN/UMNO? Pedang beri satu contoh yang dekat dengan rakyat iaitu GST.

Dalam manifestonya, PAS telah menyatakan bahawa GST akan dihapuskan. Sebaliknya, dalam manifesto BN/UMNO, GST tidak akan dihapuskan.

Jadi Pedang ingin bertanya….

Jika hendak membentuk gabungan menjadi kerajaan perpaduan PAS/UMNO, siapakah yang akan mengikut kehendak manifesto siapa? Adakah BN/UMNO bersedia menghapuskan GST seperti di dalam manifesto PAS, sedangkan mereka bermati-matian mempertahankannya?

Atau, adakah PAS akan mengorbankan janji untuk menghapuskan GST. Tak jadi nak hapus GST sebab bergabung dengan BN/UMNO.

Jika ini dilakukan, anggapan rakyat ialah PAS pembohong dan mengkhianati janji. Berilah apapun alasan, rakyat akan tetap menganggap PAS penipu. Dan, serangan terhadap PAS akan lebih hebat. Adakah PAS mahu dikatakan demikian?

PAS, Harapan dan BN/UMNO kena ingat bahawa sudah tidak ramai lagi rakyat atau penyokong mereka yang taksub membabi buta, yang terpengaruh dengan umpan pembangunan. Rakyat sudah boleh berfikir. Sekurang-kurangnya rakyat yang berpendidikan Sijil Rendah Pelajaran sudah boleh berfikir.

Kata Pedang: Pedang pun nak pakai baju baru sambut raya, tak pakai baju lama, apa lagi baju yang dah lusuh lima tahun lalu.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close