Berita UtamaKata PedangPRU14Utama

Pedang pilih siapa?

Sudah lapan kali Pedang buat liputan PRU

PEDANG mula buat liputan berita Pilihan Raya Umum (PRU) bermula 1986 iaitu PRU yang ke tujuh.

Dan, PRU14 ini adalah yang kelapan kalinya Pedang terus menulis, bertemu macam-macam jenis orang dan calon di beberapa negeri di seluruh Semenanjung.

Bagi Pedang, PRU14 ini adalah yang paling sengit. Yang kedua sengit ialah pada PRU 1990 iaitu selepas UMNO diharamkan dan kewujudan parti Semangat 46 diketuai Tengku Razaleigh Hamzah, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad memulihkan UMNO menerusi pendaftaran semula ‘UMNO baru’.

Pada PRU 1990, Barisan Nasional (BN) menang 127 daripada 180 kerusi Dewan Rakyat, tapi hilang kuasa di Kelantan di tangan Angkatan Perpaduan Ummah – gabungan PAS dan Semangat 46 – serta Sabah kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kini, PRU14 dikatakan ‘ibu segala pilihan raya’. Memang tepat sekali! Kerana bagi Pedang yang telah membuat liputan tujuh PRU sebelum ini, telah melihat bahawa PU14 ini adalah yang paling sengit, khususnya kepada BN, di mana kekuatan gabungan empat parti yang membentuk Pakatan Harapan (Harapan), amat luar biasa berbanding PRU sebelum ini.

Bagi PRU14, Rabu ini adalah tarikh keramat di mana 14,940,624 (daftar pemilih suku ke-4 tahun 2017) akan membuat penentuan baharu selepas PRU 2013 lalu, di mana BN diberi amanah mentadbir dan mengurus negara.

Dan hari ini bermulalah pecutan akhir pelari maraton yang menyertai saingan PRU14. Masing-masing calon sudah berkampung di kawasan ditandingi untuk berkempen habis-habisan, hingga tengah malam Selasa ini.

Dulunya, setelah dipilih menjadi wakil rakyat mereka jarang pulang berkampung. Tapi sekarang seperti mana Pedang pernah katakan, ada wakil rakyat yang bukan sahaja sudah menunjukkan kepandaian memasak di khalayak, tetapi juga sudah sanggup memikul jenazah.

Demikianlah wajah-wajah mereka yang kini sekali lagi ‘buat muka kesian’ menagih simpati meminta undi untuk dipanggil Yang Berhormat pada 10 Mei, tetapi kurang berkhidmat selepas menang.

Dalam pada itu pelbagai kempen dijalankan sekarang dan yang paling hebat adalah menerusi media sosial dan media massa.

Demikian juga Ismaweb.net sebuah portal Islam dan Melayu yang membuat liputan pelbagai berita parti yang bertanding pada PRU14 ini. Perlu ditegaskan bahawa Ismaweb.net adalah sebuah portal berita bebas yang tidak menerima dana daripada mana-mana pihak, justeru, Jabatan Editorial Ismaweb.net tidak dipengaruhi oleh mana-mana jutawan atau ahli politik.

Kalau nak bagi derma, atau bilik penginapan, alhamdulillah. Tapi jangan ingat dapat mengikat Pedang dan rakan-rakan dalam Ismaweb.net.

Dalam dua hari lagi menjelang pengundian, Pedang rasa rakyat sudah membuat keputusan siapa yang akan dipilih. Demikian juga Pedang.

Pedang telah tinjau pendapat penduduk kampung dan bandar di beberapa negeri dan menerima maklumat mengenai beberapa isu yang memberi kesan kepada mereka.

Pedang pun rakyat dan Pedang pun menilai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN selepas lima tahun memerintah. Dalam membuat penilaian itu, Pedang mengambil jalan mudah. Apa yang paling terkesan kepada Pedang dan keluarga Pedang sejak selepas 2013 lalu, sama juga yang dialami oleh rakyat.

Tidak perlu jauh untuk memikirkan skandal 1MDB, wang RM2.6 bilion, hutang negara. Tapi, yang paling utama ialah kos sara hidup yang meningkat akibat kenaikan harga barangan dan GST.

Pedang bukan terpengaruh dengan kata-kata PAS bahawa GST adalah haram, tapi cuba fikir kalau ibu Pedang di kampung – seorang yang layak menerima zakat – turut dikenakan GST, memang Pedang marah. Memang tak patut pun. Jadi, Pedang ingin membela ibu Pedang supaya tidak dikenakan GST.

Lalu, Pedang buat pilihan siapa yang Pedang hendak undi, berdasarkan sesuatu isu yang dekat dengan Pedang dan rakyat iaitu GST. Lihat poster di bawah.

Setelah mengambil kira apa yang diketengahkan itu, Pedang putuskan hanya dua parti sahaja yang menjadi pilihan Pedang. Sila lihat poster di bawah.

Maknanya, ini kali tidak buat BN.

Jika sudah terpaksa memilih antara dua parti di atas pula, Pedang sudah buat perkiraan setelah lapan kali membuat liputan berita-berita PRU, dan PRK. Kaji semasak-masaknya dan Pedang pangkah….

Anda bagaimana?

Kata Pedang: Pemandu yang membawa calon-calon menggunakan MPV, terutama daripada BN… tolong perlahankan kenderaan anda. Anda bukan kerajaan. Jangan sombong kerana anda berkereta besar. Jangan laju mengejar sesuatu yang tak pasti, tanpa mempedulikan rakyat lain yang menggunakan jalan sama. Nyaris tak bergesel, berlanggar dengan Pedang.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close