Berita UtamaPRU14Utama

Muhyiddin kecewa pencalonan DUN Bukit Pasir ditolak

Tiada hasrat bantu PAS di kawasan tidak diwakili calon PKR

PAGOH, 13 Syaaban 1439H, Sabtu – Pakatan Harapan yang bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak berhasrat untuk menggerakkan jenteranya membantu PAS bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak diwakili parti itu.

Pengerusi Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun PKR tidak mempunyai calon di kerusi DUN, namun jentera parti akan terus digerakkan untuk membantu calon di Parlimen.

“Bila kita tidak ada calon di situ, itu pertarungan antara parti-parti yang bertanding. Kita masih boleh fokus di peringkat Parlimen.

“Disebabkan kita tiada calon di DUN, maka kita akan gerakkan jentera untuk membantu di Parlimen,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Merujuk penolakan pencalonan wakilnya di DUN Bukit Pasir, Muhyiddin berkata, pemilihan Pizi Jihat sememangnya telah diteliti oleh pucuk pimpinan.

Beliau mengakui, di peringkat awal pemilihan itu, Pizi didapati mempunyai kes muflis, namun ianya telah diselesaikan apabila namanya disemak semula.

“Tetapi bila dokumen dibentang depan RO (pegawai pengurus pilihan raya), semakan terkini mendapati dia masih lagi bankrap dan tidak layak bertanding.

“Saya kecewa. Kita akan merujuk dengan peguam kita untuk melihat langkah seterusnya yang akan diambil,” katanya.

DUN berkenaan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Datuk Noriah Mahat (BN-UMNO) dan Kapten (B) Najib Lep (PAS).

Pertandingan tiga penjuru seperti yang dijangka sebelum ini, bakal berlaku di kerusi Parlimen Pagoh antara Ismail Mohamed (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahmad Nawfal Mahfodz (PAS).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close