Berita UtamaUtama

Kewajaran had umur perkahwinan


1. Setiap parti telah sedaya upaya menawarkan manifesto terbaik bagi memperkasa hak wanita dan melindungi kepentingan mereka. Melalui manifesto mereka, salah sebuah parti mencadangkan supaya had umur perkahwinan seharusnya dihadkan kepada satu usia minimum iaitu 18 tahun.

2. Perjuangan meletakkan had minimum umur perkahwinan ini pernah diperjuangkan oleh Joint Action Group for Gender Equality (JAG) and Sisters in Islam (SIS). Namun perkara ini mendapat bantahan dari beberapa pihak atas rasional tertentu.

3. Dari aspek syarak, telah ramai sarjana Muslim yang mengharuskan perkahwinan sebelum umur mencapai 18 tahun. Antaranya adalah Ibn Qudamah (al-Mughni 7/379), al-Imam al-Nawawi (al Majmuk 16/168), al-Imam Ibn Hajar (Fath al Bari 14/316), Ibn Rushd (Bidayah al Mujtahid 1/396) dan al-Shaukani (Nayl al-Autar 6/179).

4. Dalam membincangkan perkara ini, sarjana Muslim berhujah dengan ayat 4 dari surah al-Talaq. Menurut al Imam al-Alusi, al Imam al-Sa’di dan Sayyid Qutb, yang dimaksudkan dengan lafaz (وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ) adalah perempuan yg berkahwin pada usia yang sangat muda. Daripada ayat ini, mereka berpandangan bahawa terdapat keharusan berkahwin pada usia sebelum 18 tahun.

5. Pun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang ketat dalam mengharuskan perkahwinan muda sebegini. Peranan seorang ayah sangat penting dalam perihal ini. Dengan sebab itu Ibn Qudamah dan Ibn al Munzir menjelaskan bahawa perkahwinan muda ini perlu mendapat kebenaran ayahnya terdahulu setelah meneliti kewajaran dan keperluan untuk anak dara tersebut sebelum dikahwinkan dalam usia yang muda.

6. Sheikh al Fawzan (I’anah al Mustafid 1/329) menyebutkan bahawa:
وليّها يقوم مقامها إذا رأى المصلحة أن يزوّجها وهي صغيرة ، بأن يزوجها من رجل صالح ، أو من عالم تقي ؛ لأن لها مصلحة في ذلك

Maksudnya: Wali bagi anak perempuan tersebut memainkan peranan penting, sekiranya dia melihat ada maslahah (kebaikan) untuk mengahwinkan anak perempuannya dalam usianya yang masih muda, dengan dikahwinkan anak tersebut dengan lelaki yang soleh, atau orang alim yang bertaqwa, maka disitu ada maslahah bagi anak tersebut.

7. Selain peranan ayah, institusi agama juga memainkan peranan yang penting dalam memberi kebenaran terhadap anak muda itu sebelum diberikan kebenaran untuk berkahwin. Sekiranya dilihat keputusan ayahnya tidak wajar, Jabatan Agama barangkali berhak memberikan nasihat yang terbaik buat anak tersebut.

8. Benar, terdapat pandangan yang mengharuskan meletakkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun seperti yang pernah disuarakan oleh Sheikh Ali Jumaah, Dr. Sa’d al Din al Hilali, Dr. Alwi Amin Khalil dari Universiti al Azhar. Namun, keadaan di Mesir barangkali berbeza dengan keadaan di Malaysia. Menurut laman Legal-Agenda, punca perkahwinan muda di Mesir adalah pelbagai termasuklah mereka yang mengahwinkan anak perempuan muda mereka kepada pelancong arab yang kaya yang dinamakan “al Ziwaj al Siyahi”. Situasi di Malaysia sudah tentu tidak sama dengan senario di tanah Arab.

9. Dalam menghadapi kebejatan masalah sosial dan keperluan menjaga hak anak-anak perempuan dari dianiaya, satu kajian yang amat teliti haruslah dijalankan sebelum sesuatu itu dicanangkan sebagai kempen manifesto. Meletakkan had sebegini seharusnya melalui penilaian yang ketat. Janganlah sesuatu diletakkan bagi meraih sokongan golongan tertentu sahaja.

Sekian.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close