Berita UtamaPRU14Utama

VIDEO | Pendekatan media sosial tidak realistik dekati pengundi

Shahrir Samad sudah tak guna Facebook lebih lima tahun

JOHOR BAHRU, 7 Syaaban 1439H, Isnin – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Johor Bahru bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tan Sri Shahrir Samad menolak pendekatan platform media sosial yang disifatkan tidak realistik untuk mendekati pengundi.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau lebih selesa dengan pendekatan turun padang dan berada sendiri di lapangan bersama rakyat.

Shahrir berkata, beliau tidak lagi aktif menggunakan sebarang platform media sosial sejak PRU12, walaupun sehingga kini masih memiliki akaun Facebook.

“Saya juga antara yang terawal mempunyai blog sendiri untuk saya menulis pandangan dan pendapat. Tetapi apabila sampai ketika pada tahun 2013, saya membuat keputusan untuk tidak mahu menggunakan sebarang media sosial.

“Saya berpendapat, ia adalah satu dunia maya dan bukan realiti sebenar. Media sosial adalah ruang yang boleh kita wujudkan dunia maya dan realiti kita sendiri,” katanya pada program Dimensi bersama Ismaweb.net, di sini semalam.

Beliau berpendapat, pendekatan yang dipanggil sebagai gerakan ‘face to face’ itu adalah tepat, apabila diberi kepercayaan untuk menyandang kerusi Parlimen Johor Bahru pada PRU13 lalu.

“Saya yakin dengan pendekatan yang diambil ini kerana akhirnya saya berjaya memperoleh undi yang agak munasabah dan majoriti saya tidaklah turun begitu drastik.

“Saya masih dapat kekal pada majoriti 10,000 sedangkan kawasan Parlimen yang berjiran dengan saya hanya mendapat 1,000 hingga 3,000 majoriti sahaja,” katanya.

Pada PRU13 lalu, Shahrir berjaya merampas kerusi Parlimen Johor Bahru dengan memenangi 44,285 undi menewaskan pencabarnya, Tan Sri Md Hashim Hussein (PKR) sebanyak 34,151 undi.

Mengulas lanjut Shahrir berkata, beliau bimbang platform media sosial akan memberikan kesan buruk kepada suasana politik negara, sebagaimana yang berlaku ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

“Saya mengikuti bagaimana jawatankuasa senat mempersoalkan Facebook dari segi penyalahgunaan keselamatan sehingga kuasa asing boleh mengguna data yang ada dalam Facebook untuk mempengaruhi pilihan raya.

“Itu kita bercakap mengenai satu negara besar, yang pastinya mempunyai teknologi canggih. Tetapi ia masih terdedah kepada hasutan dan rancangan yang dibawa oleh kuasa besar seperti Russia,” katanya.

IKUTI PROGRAM DIMENSI DI ISMAWEB BERSAMA BELIAU

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close