Berita UtamaKata PedangUtama

UMNO Perlis berebut kerusi, kuasa dan wang jadi buruan

Jika kehendak akar umbi diketepi itulah petanda tahlil akan dibaca

BARISAN Nasional (BN) Perlis bakal mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Selasa ini, serentak dengan manifestonya. Tapi Pedang dengar diubah kepada Rabu, gara-gara ‘politik’ berebut kerusi.

Kalau di Terengganu dikatakan ‘chah keting’ di Perlis tak taulah. Perlis bukanlah besar sangat pun, malah kalau dikira keseluruhan tiga kawasan Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri di Perlis itu, hanya satu kawasan Parlimen di Pahang saja.

Tapi, panasnya cuaca politik di Perlis – negeri kelahiran Pedang – lebih hebat daripada di Terengganu atau Kelantan yang Pedang terjah baru-baru ini.

Pedang terus terang cakap – berebut kerusi di kalangan orang UMNO Perlis tak habis-habis. Masing-masing nakkan orang mereka menjadi calon, tanpa mengira sokongan akar umbi.

Susah Pedang nak cakap. Mungkin betul bila orang parti Pakatan Harapan (Harapan) cakap, dalam UMNO Perlis banyak krisis. Negeri lain, Menteri Besarnya adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, tapi Perlis tidak.

Kenapa? Mestilah ada sebab atau ‘krisis ketidakpercayaan’.

Tak yakin MB Perlis, Datuk Azlan Man boleh kendalikan UMNO negeri, sebagaimana cerita yang Pedang dengar bahawa Azlan sendiri kalau kekal bertanding di DUN Pauh, akan kalah. Sebab itu, Azlan mungkin bertanding di kerusi Parlimen Kangar.

Buat apa nak berebut. Kekalkan yang sedia menang pada PRU13 dulu dan letakkan muka baru di kawasan yang kalah. Kalau nak ubah pun, hanya ubah kawasan – daripada DUN pindah ke Parlimen. Pedang yakin BN akan terus mengekalkan pentadbiran jika berbuat demikian.

Pedang dengar cerita ada beberapa muka lama yang sudah lebih dua penggal menang akan digugurkan. Muka-muka lama ini pula disukai oleh orang PAS, Harapan dan orang UMNO sendiri.

Pedang sendiri jumpa orang PAS dan Harapan bertanya di kalangan pemimpin UMNO, siapa yang mereka suka dan akan pilih jika menjadi calon. Mereka jawab orang ini lah, sebab dia banyak membela rakyat, menjadi ‘check and balance’ dalam kerajaan Perlis sendiri.

Adik Pedang pun kuat dalam politik – PAS. Tapi dia suka kepada pemimpin UMNO yang boleh bertindak demi kebaikan rakyat.

Pedang balik Chuping baru-baru ini, merata tempat Pedang temui orang kampung. Buah harumanis pun sedang berputik, malah di sesetengah tempat dah boleh petik pun. Pedang jumpa akar umbi tak kira sama ada Pas, Harapan atau orang UMNO sendiri.

Apa dicakapkan. “Kami lihat individu yang boleh berkhidmat. Kami tak lihat parti.” Orang PAS dan Harapan pun cakap pada Pedang “kalau individu itu mewakili UMNO dan bertindak membela rakyat seolah-olah seperti pembangkang, kami akan sokong dia. Sebab dia adalah pembela rakyat”.

Rakyat Perlis dan boleh berfikir. Walaupun, pada PRU13 lalu calon-calon UMNO ini menang dengan majoriti di bawah 2,000 undi, cuba bayangkan berapa sangatlah keseluruhan jumlah pengundi di sesuatu kerusi DUN di Perlis.

Pedang lihat kalau UMNO Perlis salah letak calon, mengetepikan ‘orang lama’ yang sudah lebih dua penggal menang, tetapi masih mendapat sokongan rakyat, bersiap-siaplah untuk serah kerusi pentadbiran kepada Harapan atau PAS.

Daripada nama-nama yang Pedang senaraikan di bawah Pedang dengar ada antaranya yang akan digugurkan:

DUN Sena – Abdul Jamil Saad (PRU13 menang majoriti 1,924 undi)
DUN Beseri – Mat Rawi Kassim (PRU13 menang majoriti 540 undi)
DUN Mata Ayer – Khairi Hassan (PRU13 menang majoriti 1,989 undi)
DUN Santan – Sabry Ahmad (PRU13 menang majoriti 1,084 undi)
DUN Bintong – Rela binti Ahmad (PRU13 menang majoriti 1,237 undi)
DUN Kuala Perlis – Mat Hassan (PRU13 menang majoriti 1,384 undi)
DUN Kayang – Ahmad Bakri Ali (PRU13 menang majoriti 664 undi)
DUN pauh – Azlan Man (Menteri Besar) (PRU13 menang majoriti 1,382 undi)
DUN Guar Sanji – Jafperi Othman (PRU13 menang majoriti 927 undi)
DUN Simpang Empat – Nurulhisham Yaakob (PRU13 menang majoriti 85 undi)

Sudahlah macam-macam isu, terutama GST yang boleh mengancam BN Perlis, tindakan ‘menjatuhkan’ nama-nama mereka ini akan lebih cepat menyebabkan BN tersungkur.

Pedang rasa sejak menang pada PRU13, ada di kalangan mereka ini bekerja keras demi rakyat. Pedang bagi contoh daripada maklumat yang Pedang dapat. Jafperi, Mat Hassan, Jamil, Sabry adalah antara orang yang patut dikekalkan dalam PRU14 ini, kerana mereka disayangi oleh bukan saja orang UMNO, malah penyokong dan ahli PAS serta Harapan.

Orang PAS, Harapan dan orang UMNO sendiri di kawasan mereka kata, kalau mereka tidak dipilih jadi calon kami akan ‘kalih’. Maksudnya akan pangkah parti lain. Maknanya, ini akan menjejaskan juga undi pada peringkat Parlimen. kalau pilih mereka kami akan pangkah BN – terjamin undi di Parlimen.

Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hanya menang majoriti 1,371 undi sahaja. Shaharuddin Ismail di Parlimen Kangar boleh tahan apabila menang 4,037 majoriti undi, manakala Zahidi Zainul Abidin menang majoriti 7,426 undi. Pedang dengar-dengar Shaharuddin pun akan ‘ditendang’ kali ini, selepas kalah jawatan Ketua UMNO bahagian kepada Azlan.

Jadi, Pedang nasihat orang UMNO Perlis usahlah terlalu berpolitik, berebut kerusi, berebut kuasa. Lihat, pandang dan kaji betul-betul apa kemahuan akar umbi rakyat.

Kata Pedang: Dengar cakap rakyat kalau nak menang, bukan berdiri depan cermin tanya diri sendiri. Maksudnya jangan tanya orang UMNO sendiri. Pergi tanya rakyat, macam mana Pedang turun padang siasat dan tanya rakyat, buatlah macam tu. Kalau Tok Dan sendiri turun, memang lah orang akan kata kami sokong BN, UMNO.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel katapedang@gmail.com

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close