Berita Utama

Tiada pendedahan punca golongan muda tak faham isu tanah rizab Melayu

Mereka lihat tanah sebagai duit, sedangkan itu nilai dan martabat negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tidak mustahil rakyat di negara ini akan melukut di tepi gantang pada masa depan sekiranya berterusan mengamalkan sikap sambil lewa terhadap menjaga kepentingan tanah rizab Melayu.

Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar menegaskan, semua masalah itu berpunca daripada tipisnya kefahaman terhadap kepentingan memperkasakan tanah rizab Melayu

“Ini disebabkan tiada pendedahan daripada (pihak) berwajib tentang kepentingan serta hak terhadap tanah rizab Melayu yang perlu dilakukan masyarakat awam.

“Kita tidak boleh salahkan sepenuh kepada golongan muda tetapi ia berpunca daripada tiada pendedahan dan penerangan sewajarnya mengenai kepentingan tanah terutama melibatkan tanah rizab Melayu.

“Mereka juga tidak diberikan kefahaman yang sebenar sebab itu mereka hanya melihat tanah sebagai duit semata-mata, sedangkan nilai sebenar melebihi segala-galanya kerana melibatkan martabat dan maruah negara yang perlu dilindungi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tegas beliau, keadaan tersebut sekiranya dibiarkan bakal menjejaskan kedudukan negara sekali gus menyebabkan rakyat tertindas dan menjadi penumpang di tanah air sendiri.

“Situasi tersebut sekali gus dilihat memberi peluang kepada bangsa lain di negara sendiri menggunakan kesempatan tersebut.

“Itu yang menyebabkan orang muda yang memiliki tanah sama ada hasil tanah pusaka sewenang-wenangnya menjual ‘harta’ tersebut kepada bangsa lain yang ditukar dengan wang tunai,” katanya.

Justeru, katanya lagi, kesedaran perlu dipupuk di peringkat bawah lagi bagi melindungi ‘harta’ supaya rakyat asal negara ini sayangkan tanah air sendiri.

Malah, katanya lagi ia juga perlu dilihat sebagai memegang wasiat daripada nenek moyang bagi menjaga hak dan harta hasil titik peluh yang mereka korban selama ini.

Beliau dalam masa sama mengsyorkan, silibus berkaitan kepentingan penjagaan tanah rizab Melayu di peringkat sekolah perlu diterapkan supaya golongan muda didedahkan dengan persekitaran yang sebenar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button