Artikel Khas

GTA pilihan alternatif untuk rakyat, bukan PH, PN atau BN

Parti politik veteran sudah kecewakan rakyat, umat dan bangsa

ESOK seluruh rakyat Malaysia menggunakan hak masing-masing untuk memilih dan melantik wakil rakyat mereka ke Parlimen. Parti-parti politik yang bertanding semakin rancak berkempen untuk “menguasai” minda para pengundi di saat-saat akhir menjelang hari Sabtu, 19 hb November 2022.

Ramai penganalisis politik dan para pemerhati pilihanraya telah memberikan pandangan mereka. Media Sosial (MedSos) pula menjadi medium yang sangat aktif manakala pelbagai bentuk kempen giat dijalankan dicelah-celah kemeriahan bendera dan “billboard” yang membanjiri jalanraya, bandar, kampung dan pekan.

Maka siapakah yang akan dipilih untuk menerajui kepimpinan negara kali ini?

Saya berpendapat parti-parti politik utama di negara ini telah mengecewakan rakyat dan tidak boleh diharapkan apatah lagi diyakini untuk menjadi pembela kepada kepentingan rakyat, agama, umat dan bangsa.

UMNO, sepanjang sejarahnya yang lebih setengah abad, bukan lagi parti yang luhur perjuangannya. Politik wang, salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan salahtadbir pemerintahan sudah menjadi ciri-ciri yang bersebati dengan para pemimpinnya. Kalimat-kalimat seperti memertabatkan Melayu, agama dan bangsa yang diulang-ulang bagai mantera sangat memualkan apabila ianya sekadar halwa telinga.

Mereka tidak segan silu mengorbankan kepentingan Melayu apabila percaturan politik menghendaki begitu demi mengekalkan kuasa mereka. Musim pilihanraya adalah kesempatan terbesar untuk mereka berpura-pura memperjuangkan kepentingan rakyat dan bangsa Melayu, yang selamba sahaja diperbodohkan setiap lima tahun.

Ketundukan (dan mungkin juga ketakutan) UMNO terhadap tuntutan-tuntutan parti MCA dan Gerakan bukanlah suatu rahsa lagi. Yang rugi akhirnya tidak lain tidak bukan adalah bangsa Melayu sendiri. UMNO tidak pernah rasa bersalah dalam hal ini.

Parti Bersatu tidak layak mendapat liputan oleh kerana ia hanyalah satu versi dan sisi lain kepada parti UMNO sahaja.

Demikian juga dengan parti PAS yang menjadikan kalimat Islam sebagai semboyan keramat perjuangan mereka. Malangnya, Islam hanyalah satu sulaman zahir yang tidak membawa apa-apa erti dan boleh dikesampingkan begitu sahaja demi maslahat politik kepartian.

Lihat sahaja episod Tahaluf Siyasi yang memakan masa hampir 15 tahun, yang natijah terakhir hanya menguntungkan parti rasis cauvinis DAP dari segi sambutan dan penerimaan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu, khususnya para ahli dan penyokong parti bergelar Islam ini. Luka dan keperitan yang ditanggung umat dan bangsa akibat dari Tahaluf Siyasi ini masih terasa hingga ke hari ini.

Kesan secara langsung sejak “termeterai”nya Tahaluf Siyasi ialah kita melihat betapa ghairahnya para pemimpin DAP di“kudus”kan dan bahawa DAP tidak membenci Islam dan seumpamanya.

DAP mendapat durian runtuh melalui Tahaluf Siyasi ini. Segala keceluparan dan kenyataan-kenyataan kurang ajar mengenai Syari’at islam yang terbit dari bibir dan mulut mereka dilupakan begitu sahaja.

Pertembungan antara PAS dan DAP adalah satu episod yang tidak kekal sifatnya dan boleh berubah-ubah. Sekejap menjadi musuh, kemudian bertukar menjadi sahabat karib dan kemudian berubah Kembali menjadi seteru yang paling kuat penentangannya. Kini PAS semakin rapat dan tidak berani menunjukkan taringnya kepada dominasi Gerakan yang menjadi sekutunya di dalam gabungan Perikatan Nasional mereka.

Amanat Haji Hadi juga merupakan satu fakta sejarah yang sangat memilukan. Sekiranya ia tidak dibatalkan atau ditarik balik, ia akan kekal menjadi satu titik hitam kepada sejarah perjuangan parti Islam itu untuk membina kesepakatan dan kekuatan umat.

Antara “penyakit” lain yang menimpa parti ini ialah ketaksuban para pengikut dan pendokongnya. Fenomena ini juga sesuatu yang sukar diatasi memandangkan kepimpinan dan keputusan parti dianggap sesuatu yang tidak boleh disanggah, meskipun ia bercanggah dengan maslahat umat yang lebih besar.

PKR pula hanya sinonim dengan perjuangan peribadi Anwar Ibrahim untuk menjadi pemimpin nombor wahid negara. Dari Permatang Pauh, kemudian Kajang, kemudian Port Dickson dan terkini Tambun, semuanya menjadi perantara untuk menyampaikannya kepada kerusi kepimpinan negara di Putrajaya.

Laungan Reformasi yang dilaungkan kononnya untuk menentang “kezaliman” Tun Dr Mahathir hanya bertahan tidak sampai 20 tahun pun.

Setakat ini sahajalah prinsip perjuangan dipertahankan oleh Anwar Ibrahim, kalaupun kita ingin mentakrifkan sebagai satu prinsip. Berapa ramai rakyat dan penyokong “reformasi” Anwar yang diperbodohkan dengan prinsip separuh jalan ini? Kita belum sentuh secara panjang lebar lagi tentang agenda liberal yang dibawa oleh parti ini sepanjang evolusinya sejak didaftarkan.

Parti Amanah Nasional (PAN) tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang signifikan memandangkan pada prsepsi umum, ia tidak lebih dari parti politik yang di “endorse” kan oleh DAP dan sebahagian besar pemimpinnya merupakan bekas pimpinan PAS yang tersingkir dari parti itu. Mereka tidak berfungsi di dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan umat.

Parti MUDA hanyalah sebahagian dari komponen Pakatan Harapan oleh kerana permohonannya untuk menjadi anggota komponen PH tidak sempat diproses dan diluluskan oleh kerana Parlimen sudah dibubarkan. Maka kemasukannya di dalam PRU15 sebenarnya ialah untuk membawa agenda PH semata-mata.

Dalam konteks ini, parti-parti DAP, MCA dan Gerakan sebenarnya merupakan gabungan yang tidak bertulis (Unwriiten Coalition) yang mempunyai banyak persamaan antara mereka. Meskipun seringkali terdapat perbezaan dan perbalahan di kalangan ketiga-tiga parti tersebut, ia hanyalah perbezaan dari segi strategi dan keutamaan (priorities) sahaja. Mereka tetap bersepakat dan sehaluan di dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan pendidikan, budaya, politik dan juga ekonomi.

[Satu contoh yang mudah ialah mengenai kewujudan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Sijil UEC. Semua parti politik Cina baik DAP, MCA atau Gerakan tidak berselisih pendapat tentang keperluan untuk mempertahankan institusi ini. Sebaliknya, tidak ada satupun parti-parti politik khususnya UMNO, PAS, PKR dan PAN yang berani menyentuh “kekebalan” sekolah vernakular ini di dalam manifesto mereka].

Mereka sedar bahawa selagimana umat Islam dan bangsa Melayu berpecah belah dan berterusan dalam perbalahan dan persengketaan sesama sendiri, selama itulah kepentingan mereka akan terpelihara dan dominasi mereka tidak akan tergugat.

Melihat kepada realiti perpecahan umat dan bangsa pada hari in, saya tidak yakin bahawa hegemoni segitiga DAP, MCA dan Gerakan akan tergugat atau terancam dalam masa yang terdekat.

Umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia terpaksa menelan kepahitan dan kehinaan yang memalukan dek kerana keangkuhan dan kesombongan parti-parti politik Melayu/Islam yang diketuai oleh kepimpinan yang egois dan mementingkan masa depan parti melebihi dan mengatasi maslahat umat dan bangsa.

Ketika berlangsungnya kempen PRU15 kali ini, rakyat, umat Islam dan bangsa Melayu dapat menyaksikan bagaimana parti-parti di atas beraksi. Tersingkap jugalah topeng-topeng palsu yang menyembunyikan wajah sebenar mereka.

Jangan semata-mata melihat kepada calon. Lihat jugalah kepada apa agenda parti mereka!

Parti-parti yang banyak duit akan boros membelanja secara luarbiasa untuk memenangkan calon mereka sehingga kita tertanya-tanya sama ada sumber kewangan mereka datang dari waris-waris Qarun yang menjelma kembali di kurun ke 20. Janji demi janji dihamburkan, yang bertujuan semata-mata untuk “membeli” undi dari rakyat. Mata dan minda rakyat digula-gulakan dengan pelbagai projek dan habuan yang mustahil ditawarkan di luar waktu pilihanraya.

Siapa yang memberi dana kepada parti-parti politik ini?

Dari taikun-taikun dan tokoh-tokoh korporatkah?

Dari agensi-agensi asingkah?

Dari duit rakyatkah?

Negara memerlukan kepimpinan alernatif yang baru!

Saya ingin ulangi: Parti-parti politik veteran sekarang sudah mengecewakan rakyat, umat dan bangsa!

Sebagai alternatif dan satu pilihan penyelesaian kepada kemelut politik yang sedang menimpa bangsa Melayu dan umat Islam ialah gabungan politik yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA) yang buat pertama kalinya memasuki medan PRU15 atas tiket parti Pejuang. Kebanyakan calonnya terdiri dari muka-muka baru yang berwibawa, yang bersih dan tidak mewarisi DNA parti-parti Melayu/Islam sedia ada.

Agenda yang ditawarkan kepada rakyat dan para pengundi sangat jelas, dirumuskan dari pemikiran dan pembacaan yang matang dan berwawasan, merangkumi para pemimpin politik, negarawan, NGO-NGO dan golongan professional serta tokoh-tokoh masyarakat yang komited dan disegani.

Para pengundi dan rakyat Malaysia berhak mendapat yang terbaik!

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button