Berita UtamaKata PedangUtama

GST, kera dan anak di rumah

Syarikat China tak dikenakan GST tapi rakyat sendiri wajib bayar

TERKEJUT sungguh Pedang bila baca berita syarikat China yang datang meneroka tanah di Malaysia dikecualikan daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST), walaupun jawapan diberi kerana hendak menjimatkan kos dan demi kepentingan awam.

Terlintas di fikiran Pedang, betulkan syarikat-syarikat China itu tak kena GST? Atau GST itu digantikan dengan ‘derma PRU’?

Bila rakyat sendiri dikenakan cukai, tapi syarikat China yang melaksanakan projek berbilion-bilion ringgit – yang mungkin GSTnya akan juga mencecah berbilion-bilion ringgit – tak perlu bayar cukai itu, Pedang rasa amat-amat pelik sekali. Lalu teringatlah kepada ‘kera yang berada dihutan diberikan susu, tapi anak sendiri di rumah dibiar mati kelaparan’.

Persoalan yang ditimbulkan oleh orang seperti Husam dan Rafizi, kadang-kadang memberi kebaikan kepada rakyat. Perkara yang ‘disembunyikan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) terjawab apabila Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, sendiri mengesahkan kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC), diberi pelepasan GST.

Tapi betulkan kastam ‘memberi pertimbangan’ sebagaimana dinyatakan oleh Subromaniam? Kastam berada di bawah Kementerian Kewangan. Patutnya dalam kenyataan Subromanian itu berbunyi “kastam terpaksa memberi pertimbangan…”.

Dan itu baru satu syarikat. Puluhan syarikat China yang lain pun Pedang rasa dikecualikan GST, sedangkan kerajaan BN mengenakan GST kepada rakyat sendiri. Mengapa biar anak mati kelaparan di rumah sendiri?

Bangkai gajah mana boleh ditutup dengan nyiru. Suatu hari akan terbongkar juga. Perbuatan ‘tersembunyi’ beginilah yang akan menyebabkan rakyat benci dan tak percaya lagi kepada kerajaan BN. Apa lagi pada ketika kerajaan BN akan berdepan pasukan pembangkang yang paling kuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Pedang rasa kalaulah dikutip GST daripada syarikat-syarikat China itu, jumlahnya entah berapa bilion ringgit dan boleh menampung perbelanjaan mengurus negara. Boleh tambah lagi BR1M!

Janganlah bagi alasan projek-projek China itu tak kena GST sebab projek berkepentingan awam. Syarikat dalam negara pun ada yang melaksanakan projek kepentingan awam tapi tetap kena GST. Janganlah beri alasan projek-projek itu memberi manfaat besar kepada rakyat, sebab rakyatlah juga yang akan bayar perkhidmatan yang disediakan itu nanti.

Pedang berani jamin, dalam tiket kereta api projek ECRL itu nanti akan tertera ‘GST 6%’. Siapa bayar jika bukan rakyat?

Lagi pelik bila dokumen China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd sebagaimana yang didedahkan Husam itu, menyatakan pelepasan GST oleh Kementerian Kewangan bertarikh 7 Februari tahun ini, dan ia berkuat kuasa pada 26 September 2016.

Dan, seperti Pedang kata awal-awal tadi adakah pengecualian GST itu diganti dengan ‘derma tersembunyi’?

Kalau Pedang boleh terfikir kemungkinan ada ‘cukai tersembunyi’ lain yang boleh digantikan menjadi ‘derma’ kepada kerajaan BN, rakyat Malaysia pun bukannya bodoh, tentu juga akan terfikir hal sama.

Cuba fikir mungkin ada ungkapan begini:

“Ok, saya kecualikan syarikat anda daripada membayar GST berjumlah RM10 bilion. Tapi anda dermakan kepada saya RM5 bilion. Boleh?”

Sudah tentu syarikat-syarikat China ini akan setuju sangat-sangat, untuk bagi derma – bukan rasuah. Apalagi sekarang parti memerlukan dana bagi menghadapi PRU14 yang dianggap PRU paling getir dalam sejarah negara.

PRU yang mengikut pihak tertentu – kononnya laporan daripada kumpulan perisik yang ditubuhkan – mengatakan parti anti-Islam MCA dan MIC akan hancur kali ini mengikut jejak Gerakan. Sementara, UMNO pula akan kalah teruk, walaupun tidak berkubur.

Bukan buruk sangka, tapi sejak dulu lagi kita sudah tahu yang banyak syarikat-syarikat dalam negara ‘terpaksa’ memberi ‘derma yang tidak diminta apa-apa balasan’ menjelang PRU.

Pedang sokong jika kerajaan BN mengutamakan rakyat, berkorban demi rakyat. Tapi, jangan minta rakyat berkorban demi kerajaan BN, kerana perkara begini sensitif kepada rakyat yang telah celik dalam dunia moden ini.

Kalau pihak lain boleh berjanji hendak menghapuskan GST, pastinya mereka mempunyai formula untuk mendapat pendapatan lain sebagai ganti. Kenapa kerajaan BN tidak mempunyai formula itu?

Wallahu a’lam

Kata Pedang: Kenapa Pedang guna ‘Kerajaan BN’? Sebab, apa-apa kempen kerajaan dalam berdepan PRU14 sekarang ini, menteri-menterinya banyak yang memakai kemeja BN dan bercakap, berceramah pula menggunakan perkataan ‘Kerajaan BN’.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel katapedang@gmail.com

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close