Berita Utama

Syarikat China tak kena GST

Menteri Kewangan beri pelepasan cukai kepada CCCC

BANGI, 1 Syaaban 1439H, Selasa – Kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC) sah diberikan pelepasan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Kastam memberi sokongan mempertimbangkan pelepasan cukai sebanyak 6 peratus berkenaan oleh Kementerian Kewangan kepada syarikat itu.

“ECRL adalah projek melibatkan dua kerajaan yang membabitkan kepentingan awam. Ia bagi mengurangkan kos projek yang berorientasikan kemudahan awam.

“Secara amnya, pelepasan ke atas syarikat ini (CCCC) bagi memastikan projek strategik ECRL dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi manfaat besar kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa dilaporkan meminta penjelasan mengenai perkara itu, dan memuat naik dokumen yang dikatakan sijil pelepasan GST ke atas perolehan barangan dan perkhidmatan bagi projek berkenaan.

Dokumen yang dikeluarkan atas nama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd itu menyatakan pelepasan diberikan i bawah Seksyen 56 (3) (a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membabitkan kuasa menteri kewangan untuk memberikan pelepasan berkenaan.

Ia turut disertakan kepala surat CCCC yang memberitahu pembekalnya bahawa ia diberikan pelepasan GST berdasarkan surat oleh Kementerian Kewangan bertarikh 7 Februari tahun ini, dan ia berkuat kuasa pada 26 September 2016.

Subromaniam menjelaskan, pelepasan dibuat selepas mengambil kira faktor faedah pinjaman yang ditawarkan adalah lebih baik daripada kos GST.

“Syarikat itu juga tidak dibenarkan menuntut apa-apa bayaran pulangan balik (refund) GST,” katanya.

Beliau menjelaskan, sistem GST sememangnya mempunyai mekanisme untuk mengurangkan impak cukai kepada golongan yang disasarkan.

“Kastam dari semasa ke semasa akan akan mempertimbangkan permohonan pelepasan kepada syarikat yang memohon serta layak,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close