Berita UtamaPRU14Utama

VIDEO | Usah terpedaya mentaliti ‘White Men’s Burden, kata Khaled

Rakyat Johor digesa tolak demokrasi ala penjajah amalan pembangkang

AYER HITAM, 29 Rejab 1439H, Isnin – Rakyat Johor digesa menolak mentaliti ‘beban orang putih’ atau White Men’s Burden, yang hadir di tengah masyarakat, kononnya untuk menjadi penyelamat kepada kemunduran dan kemiskinan sambil membawa konsep demokrasi ala penjajah.

Sedangkan, demokrasi sepatutnya menjadi saluran yang membawa kesejahteraan, bukan pentas untuk melampiaskan emosi dan kemarahan, kata Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor, di sini, hari ini, beliau berkata, pendukung demokrasi ala penjajah pada zaman moden ini datang dengan mendakwa Johor dalam keadaan teruk, terkebelakang dan ketinggalan.

“Tetapi, kalau kita lihat fakta, ekonomi Johor ini adalah yang terbaik di Malaysia. Pelaburan dalam sektor pembuatan di Johor adalah yang tertinggi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut atau tiga hingga enam kali ganda lebih tinggi dari negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

“Inilah yang sedang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan pendukung DAP. Kita tahu mereka semua bukan rakan dan sekutu. Mereka semua adalah seteru dan mereka saling bersaing dan berbalah dalam banyak perkara. Mereka semua berbeza-beza ideologi dan pegangan.

“Tetapi, demi kerusi dan kuasa, mereka bersama-sama duduk dan kononnya berpakat. Mereka bahagi-bahagikan negeri kita ini seperti kita ini semua tidak ada nilai,” katanya.

Beliau berkata, pengamal demokrasi ala penjajah itu juga selalunya akan lari ke kawasan lain dan meninggalkan pengundi.

“Selepas mereka bertanding di sesuatu kawasan DUN atau Parlimen, mereka tidak akan berkhidmat. Hanya membuat bising dan merungut. Kemudian, apabila rakyat melihat temberang mereka yang tidak pun memberikan khidmat bakti, mereka tidak akan kisah. Mereka akan lari sahaja ke kawasan dan kerusi lain pula,” katanya.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, Mohamed Khaled yakin Barisan Nasional (BN) Johor dapat mempertahankan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) 9 Mei ini.

Malah, beliau yakin BN Johor juga dapat merampas beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lalu.

“Kita yakin dapat kekalkan dua pertiga kerusi (DUN). Bagi kerusi Parlimen, kita akan pastikan beberapa kerusi baharu dapat ditawan semula,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close