DuniaTimur Tengah

Sidang Kemuncak Liga Arab ditukar kepada ‘Sidang Kemuncak Baitulmaqdis’

Pengumuman Raja Arab Saudi tanda sokongan kepada Palestin

DHARAN (ARAB SAUDI) , 29 Rejab 1439H, Isnin – Raja Abdullah II dari Jordan yang merasmikan Sidang Kemuncak Liga Arab ke-29 di sini, bandar di timur Arab Saudi, hari ini menegaskan pentingnya penyelesaian kewujudan dua negara, serta mengutuk keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Pada masa sama, Raja Arab Saudi, Raja Salman yang turut mengecam langkah AS itu dan menegaskan keperluan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negara Palestin, mengumumkan penukaran nama sidang kemuncak itu kepada ‘Sidang Kemuncak Baitulmaqdis’ sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa menunjukkan pendirian tegas menentang tindakan agresif Iran di rantau Teluk, selain puak militan yang menghalang bantuan kepada penduduk Yaman.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed About Gheit berkata, ancaman utama yang dihadapi semua orang Arab adalah sama penting dan berbahaya.

“Cabaran masa kini memerlukan dialog mengenai keutamaan keselamatan negara-negara Arab,” katanya, yang turut menegaskan bahawa rejim Syria bertanggungjawab ke atas kerosakan yang berlaku di negara sendiri.

Enam belas pemimpin negara Arab menghadiri sidang kemuncak itu yang dijangka membincangkan isu Palestin, Syria, Lubnan dan Libya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close