Berita Utama

Polis tidak terima laporan pelajar dibelasah

Video menunjukkan pelajar lelaki seperti merelakan diri dipukul rakan

SHAH ALAM, 29 Rejab 1439H, Isnin – Polis masih tidak menerima sebarang laporan mengenai video yang menunjukkan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, seakan-akan ‘merelakan’ dirinya dibelasah sekumpulan rakan ketika menyambut hari lahirnya.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada Februari lepas dan difahamkan pihak sekolah mengenalpasti kesemua pelajar yang terlibat dan siasatan terperinci akan dijalankan.

“Pihak polis Shah Alam telah berhubung dengan pihak sekolah terbabit dan akan bekerjasama menangani isu ini.

“Justeru, sementara siasatan lanjut dijalankan, pihak polis meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas video berdurasi 29 saat yang menunjukkan lapan pelajar lelaki termasuk seorang yang kelihatan sebagai pengawas menyepak dan memukul rakan sekelas mereka menggunakan sebatang penyapu.

Dalam video yang menjadi tular di laman sosial, kumpulan lelaki terbabit turut menyanyikan lagu selamat hari Jadi kepada pelajar berkenaan sebelum dipukul. Cara sambutan hari jadi itu dikatakan menjadi amalan tradisi segelintir pelajar sekolah berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu majlis di Shah Alam  berkata pihaknya sedang menyiasat insiden berkenaan.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku walau apapun alasannya sebab boleh mencetuskan kejadian tidak diingini termasuk kejadian buli serius.

“Saya dimaklumkan kementerian sedang menyiasat kes buli ini dan setelah mendapat laporan penuh, saya akan mengemukakannya,” katanya.

Kamalanathan berkata, kementerian memandang berat akan hal itu dan akan berusaha menyelesaikan masalah disiplin pelajar secara total termasuk menyasarkan sifar kes buli. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close