Berita UtamaPRU14Utama

Pilih calon bukan muslim kurang beri mudarat kepada Islam

PAS tak tanding tiga Parlimen di Perak, majoriti pengundi bukan Islam

IPOH, 29 Rejab 1439H, Isnin – Pemuda PAS Perak menasihatkan pengundi Islam supaya memilih calon bukan muslim yang kurang memberi mudarat kepada Islam, jika kawasan mereka hanya ditandingi oleh calon bukan Islam.

Ketua Pemudanya, Ustaz Akmal Kamaruddin berkata, sekiranya calon yang bertanding tidak mempunyai ciri-ciri yang layak, pengundi perlu memilih calon yang paling kurang memberi mudarat atau bahaya kepada Islam, berbanding yang lain.

Sambil menyokong kempen ‘Undilah calon muslim berwibawa’, beliau memberi contoh di Perak, di mana PAS tidak bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Batu Gajah, namun masih menawarkannya kepada pihak lain di dalam Gagasan Sejahtera.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) katanya, ada beberapa kawasan yang mana PAS tidak bertanding, dan kemungkinan akan berlaku pertembungan dua penjuru sahaja antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Pengundi di semua kerusi itu 80 peratus bukan Islam. Maka, apabila berlaku pertembungan kerusi di situ, pengundi perlulah memilih calon berwibawa. Kalau tiada calon muslim berwibawa, dan calonnya adalah bukan Islam, undilah yang kurang memberi mudarat.

“Contoh kurang mudarat ialah pemimpin ini bersedia untuk memberi laluan kepada penegakan syariat Islam sama ada di Perak, ataupun di peringkat Parlimen.

“Keduanya, calon tersebut bukanlah penentang agama Islam. Apabila ada isu mengenai Islam dia senyap, tidak muncul ke hadapan, paling teruk membantah seperti RUU355,” katanya pada pertemuan dengan Ismaweb.net di Ipoh, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ustaz Akmal berkata, amat penting untuk rakyat memilih calon yang mahu mempertahankan agama bagi menjaga survival Islam dan Melayu di negara ini.

“Kita tidak mahu seperti segelintir pemimpin yang ada sekarang ini. Apabila menyentuh isu Islam, ramai yang membantah dan melenting.

“Saya bagi contoh Ahli Parlimen Ipoh Barat. Beliau adalah peguam utama dalam membela kes tiga orang anak yang dibatalkan sijil pengesahan masuk Islam. Ia melibatkan kes mahkamah. Tapi yang jelasnya, kita dah nampak, dia antara pemimpin yang memudaratkan agama,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close