Berita UtamaUtama

Lawan Islam: Tiong Lai bakal hilang undi Melayu di Bentong

Penentangan terbuka MCA terhadap RUU355 punca Melayu kecil hati

KETARI (BENTONG), 29 Rejab 1439H, Isnin – Presiden MCA, Liow Tiong Lai dijangka tidak akan dapat mempertahankan kerusinya di Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Abdul Hamid Bahatim.

Beliau berkata, ia berikutan tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan Tiong Lai berhubung isu Islam, terutama Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355), telah banyak mengguris hati penduduk Islam di daerah tersebut.

“Impak dia sangat besar, bukan setakat RUU355, tetapi banyak lagi yang bersangkut paut dengan isu Islam. Mereka (penduduk) pernah buat bantahan kepada Tiong Lai, tapi dia tak peduli.

“Dia pernah keluar kenyataan bahawa dia akan letak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

“Isu sekarang dia bukan hentam PAS, tetapi dia hentam Islam. Besar kesannya,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Pada PRU 1999, Tiong Lai mengalahkan calon PKR dengan majoriti 10,715 undi, kemudian pada 2004 beliau memperoleh majoriti 38,648 dan pada 2009 (majoriti 12,549).

Tetapi pada PRU13 lalu, beliau hanya mendapat majoriti 379 undi, satu angka yang rapuh dalam keputusan pilihan raya di peringkat Parlimen.

Mengulas lanjut, Abdul Hatim berkata, selama ini yang memenangkan dia dan peratusan penyumbang utama adalah orang Melayu.

“Kebanyakan pengundi yang dia dapat adalah daripada pengundi Melayu. Kalau harapkan undi orang Cina memang tiada harapan lah jawabnya,” katanya.

Bentong dilaporkan mempunyai seramai 62,266 pengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Pengundi Melayu dan Cina hampir sama banyak di kawasan itu dengan masing-masing 45 dan 44 peratus.

Komposisi kaum itu menunjukkan peluang Liow mungkin terancam susulan pendirian MCA yang tidak menyokong usaha PAS melipatgandakan hukuman Mahkamah Syariah melalui Akta 355 di Parlimen.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close