Berita UtamaKolumnisMuhammad Luttfi Abd Khalid

Arak: Satu senario awal siapa lebih dominan?

Malang bagi umat Islam jika masih percayakan pemimpin seperti mereka

SENARIO yang berlaku di Kuantan baru-baru ini:

Ahli politik beragama Islam duduk bersama di dalam majlis yang arak tersedia di dalamnya.

Tujuan majlis ialah untuk kutipan dana pilihan raya.

Premis dewan yang dimiliki oleh bukan Islam.

Arak tiada di dalam menu dan tidak ada larangan bagi yang ingin memesannya.

Penyokong parti beragama Islam ditempatkan di luar dewan dan minum sirap di bawah khemah, yang menu makanannya disediakan oleh katerer muslim.

Apa pun alasan untuk menjustifikasikan dan “mensucikan” kebersamaan umat Islam di dalam majlis seperti ini sangat dangkal dan bersifat untuk memuaskan diri sendiri sahaja, apatah lagi kebersamaan ini tidak diiringi atau disokong dengan sebarang dalil Syara’.

Yang dapat diharapkan dan dipamerkan hanyalah hujah akal yang dibalut dengan alasan-alasan yang lemah.

Tidak ada sensitiviti di dalam hati sang Muslim apabila duduk di dalam majlis politik yang arak adalah available, kerana tujuan utama ialah untuk kutip dana pilihan raya, manakala botol-botol berisi arak sudah jadi secondary, penolakan terhadap wasilah kepada maksiat terpaksa dibiarkan turun ke tahap paling kritikal iaitu selemah-lemah Iman (penolakan dalam hati).

Nilai politik, maslahat dan agenda parti dan matlamat kewangan bisa saja mengalahkan maruah, jatidiri, kemuliaan dan prioriti seseorang yang mengaku beragama Islam. Masih juga ada di antara mereka yang cuba meremehkan teguran-teguran dari umat Islam yang lain.

Seandainya kumpulan seperti ini berjaya merasai sedikit sahaja kemanisan berkuasa, senario yang sama akan berulang di mana dominasi hakiki dimiliki oleh yang bukan-Islam, kedudukan Islam akan jatuh tercorot di bawah paras minima dalam ukuran Syara’, tidak ada penghormatan lagi kepada apa yang begitu sensitif pada sisi umat Islam yang paling jahil sekalipun. Mantera dan retorik kedaulatan umat dan keunggulan Agama Islam tidak akan berdaya diterjemahkan di alam nyata kerana kekalahan total telah berlaku ke atas hati dan jiwa.

Sekiranya di dalam perkara yang paling asas pun kumpulan ini tidak sensitif dan dengan sinis boleh dipermain-mainkan, umat Islam berhadapan dengan risiko besar bahawa perkara-perkara yang sangat sensitif dan asasi bagi umat Islam pun mungkin boleh dikorbankan. Ini kerana jatidiri, kemuliaan, kebanggaan dan ‘Izzah serta maruah tidak lagi menjadi pilihan utama.

Dasar-dasar fiskal, pendidikan, sosial, ketenteraan, keselamatan dan kedaulatan negara boleh saja ditentukan oleh keuntungan material yang segera dan kehendak parti politik yang lebih dominan secara hakiki. Agenda Liberal (dan yang seangkatan dengannya) akan senang bertapak di kalangan umat Islam memandangkan normalisasi besar-besaran sudah dapat dilaksanakan, tanpa bantahan.

Masyarakat Islam tertanya-tanya bagaimanakah proses berfikir yang berjalan di dalam minda kumpulan pseudo-Islamis liberal ini berhubung majlis politik yang penuh kontroversi itu? Kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan anda ketika anda begitu bersemangat sekali mempertahankan dan menjustifikasikan penghidangan arak sedemikian.

Malang bagi umat Islam sekiranya golongan ini dipercayakan untuk memperjuangkan kepentingan umat Islam di Parlimen.

Na’uzubillahi min zalik!

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close