Berita Utama

Isu loji sembelihan Australia tidak jejas bekalan daging Aidiladha

Permintaan tinggi bagi aktiviti korban khusus terhadap lembu hidup

JOHOR BAHRU, 17 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Isu penggantungan kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu khususnya untuk sambutan Aidiladha.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia kerana permintaan tinggi bagi aktiviti korban sempena perayaan itu adalah khusus terhadap lembu hidup.

“Masalah (terjejas) bekalan tidak timbul kerana selalunya kalau (daging) permintaan tinggi pada musim perayaan Aidilfitri, (manakala) Aidiladha orang tunggu lembu hidup.

“Jadi insya-Allah tidak ada isu dan (bekalan daging terjejas) pun ditampung oleh tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai sama ada penggantungan kelulusan loji sembelihan itu akan menjejaskan bekalan daging ketika Aidiladha atau sebaliknya.

Mengenai status penggantungan itu, Idris berkata, perkara itu masih dalam proses siasatan.

Pada 14 Mei lepas, dilaporkan bahawa kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button