Berita UtamaUtama

Tun M dakwa Najib akan tipu untuk menang PRU14

Pemilih tak perlu takut kerana undi adalah rahsia, PM pun tak tahu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Rejab 1439H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal dipenuhi dengan pelbagai jenis penipuan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk terus kekal memerintah negara.

Dr Mahathir mendakwa, 90 peratus rakyat menolak Najib dan tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 – apa yang dipanggil ibu segala PRU itu – sehingga menyebabkan Perdana Menteri dalam keadaan cemas.

Menerusi tulisan terbaharu di Chedet.cc hari ini, beliau menyenaraikan 14 penipuan yang didakwa dilakukan Najib untuk memenangi undi rakyat pada PRU14 yang akan diadakan 9 Mei ini.

Antaranya, termasuk mengubah senarai pengundi sehingga empat juta pemilih tidak ada alamat yang penuh; ratusan pengundi mempunyai nama dan umur yang sama, tetapi tinggal di negeri berlainan; dan 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal dalam satu rumah – walaupun berlainan kaum dan apabila diselidik terdapat hanya dua orang di rumah itu.

Beliau mendakwa pengundi pos dan pengundi awal pula bertambah sehingga sejuta orang, sementara cara undi pos itu dibuat pula tidak jelas serta terbuka untuk penipuan.

“Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah. Sempadan kawasan pilihan raya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Pengundi, terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) itu juga mendakwa bantuan kewangan kepada parti pembangkang disekat dengan tindakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan menambah cukai syarikat dan membekukan wang supaya perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan.

“Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan UMNO sebab polis atau MACC tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang;

“Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu; dan daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen di kalangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mengingatkan rakyat supaya tidak takut menunaikan tanggungjawab mereka dan memilih pemimpin yang layak mentadbir negara.

Katanya, ambil sahaja segala wang dan hadiah yang diberikan oleh kerajaan Najib, kerana ia datang dari duit rakyat yang telah dicurinya.

“Pengundi tidak perlu terima kasih kepada Najib atau mengundi BN. Jika disuruh bersumpah, bersumpahlah. Tetapi buat niat lain – niat untuk menolong P.H. Niat lebih diterima dari sumpah paksa yang dilafaz,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close