Berita Utama

MN ‘gagal’ kerana hanya bersatu atas dasar agenda politik

Agenda boleh diperjuang selagi iman dan matlamat Islam di depan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Syawal 1443H, Jumaat – Ketua Pemuda BERJASA Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan percaya, kekhilafan pada matlamat serta asas penyatuan dalam piagam Muafakat Nasional (MN) punca hubungan PAS dan UMNO sukar untuk dipulihkan.

Beliau mendakwa, kedua-dua parti politik itu hanya bersatu atas dasar agenda politik dan kuasa memerintah semata-mata.

“Jelas sekali penyatuan yang dibuat bukan berasaskan Islam dan keikhlasan dalam berjuang.

“Apabila kerajaan sudah terbentuk, masing-masing gagal muafakat dan sepakat. Mula gopoh dan tamak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan veteran UMNO supaya kerjasama antara UMNO dan PAS ‘dimatikan secara rasmi’.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya mendesak agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan secara rasmi yang menyatakan MN sudah mati dan telah berkubur.

“Veteran UMNO sedari dulu mahukan MN dibubarkan bagi mengelak ia dipersendakan dan dipolemikkan.

“PAS yang dengan angkuh sombong meninggalkan UMNO dalam MN telah memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) masih lagi menaruh harapan dan sering membangkit isu MN.

“Kenyataan Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS) yang terbaru jelas menunjukkan PAS mempermainkan MN,” katanya.

Menyentuh mengenai gesaan penyatuan ummah, Ustaz Fahmi menegaskan bahawa iman dan matlamat Islam perlu diletakkan di hadapan.

“Insya-Allah apa sahaja halangan boleh diurus dan perancangan serta agenda boleh diperjuangkan bersama.

“Selagi asas ini tak wujud berasingan itu lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button