Berita UtamaUtama

Parlimen bubar esok

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 19 Rejab 1439H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa pada Sabtu, 7 April bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau membuat pengumuman itu pada jam 12.15 tengah hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung hari ini.

“Saya ingin memaklumkan, saya sudah mengadap Yang Dipertuan Agong bagi menyembah warkah memohon perkenan Parlimen ke-13, dibubarkan pada 7 April 2018. Dan Baginda telah memperkenan untuk Parlimen dibubarkan Sabtu ini,” katanya.

Mandat kerajaan pusat akan berakhir pada 24 Jun 2018, berdasarkan hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU13.

Serentak itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Pilihan raya kali ini menyaksikan SPR mengadakan persempadanan semula kawasan dengan perubahan nama kepada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close