Berita Utama

Tiga ditahan disyaki terlibat rasuah lebih RM150,000

KUALA LUMPUR, 17 Rejab 1439H, Rabu – Ketua unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank antara tiga individu yang ditahan di sekitar Putrajaya, semalam kerana dipercayai terlibat rasuah bernilai lebih RM150,000.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek lelaki berusia 30 tahun serta sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun itu ditahan semalam.

“Suspek yang merupakan pekerja bank cawangan Putrajaya dipercayai menerima rasuah daripada suami isteri itu sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan satu pembiayaan peribadi tahun lepas,” katanya.

Menurut sumber, siasatan mendapati pasangan suami isteri itu bertemu pekerja bank berkenaan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi dengan nilai yang besar.

“Bagaimanapun, permohonan itu tidak lengkap dan (mereka) berpakat untuk membuat satu pengesahan palsu bagi membolehkan permohonan itu diluluskan.

“Suami isteri itu memberi rasuah kepada pekerja bank tersebut sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan untuk membolehkan permohonan pembiayaan diluluskan,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan SPRM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.-Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close