Berita Utama

‘Jururawat di sebalik pintu’ terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Khartina bersikap profesional kendali kerenah pesakit, orang awam

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 17 Rejab 1439H, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia memberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada jururawat wanita di Hospital Langkawi, yang diserang suami pesakit menerusi rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Jururawat Terlatih, Khartina Khalid dianugerahkan pingat berkenaan kerana sikap profesional dalam mengendalikan kerenah pesakit dan orang awam.

“Klien telah bertindak keterlaluan dengan mengambil video dan mengeluarkan kata-kata yang keterlaluan terhadap Khartina, yang bertungkus lumus berusaha memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya doakan semoga Khartina akan terus mengecapi kejayaan dan kecemerlangn dalam kehidupan serta karier jururawat,” katanya menerusi status di Facebook.

Sebelum ini, tular video perbualan di antara Khartina dan seorang ahli keluarga pesakit dipercayai untuk memburukkan reputasi kakitangan dan Hospital Langkawi.

Video itu dimuat naik pemilik Facebook, Muhammad Izat Marican yang memarahi Khartina yang berselindung di sebalik pintu, atas dakwaan isterinya tidak mendapat layanan perubatan daripada pihak hospital.

Video itu kemudian dikongsi oleh Facebook, Langkawi Sana Sini dengan keterangan yang berbunyi, ‘Hospital Langkawi paling teruk di dunia. Tiada Dr. dalam Dewan bersalin’. Perkongsian itu terus menjadi viral dengan lebih banyak perkongsian dan ‘like’.

Terdahulu, Norhizan berkata, tindakan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di premis KKM adalah dilarang sama sekali.

Ia termasuk melakukan kekerasan terhadap anggota kesihatan sama ada kekerasan fizikal, lisan ataupun bertulis termasuk di media sosial.

“Tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berwajib terutama membabitkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan Malaysia [Akta 574] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan seksyen dan subseksyen tertentu bergantung kepada jenis kesalahan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close