Berita Utama

UKSB serah wang secara bulanan SG$13.56 juta kepada Zahid: Saksi

Transaksi pembayaran berlaku antara Oktober 2014 dan Mac 2018

SHAH ALAM, 12 Muharram 1444H, Rabu – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa keseluruhan wang tunai yang diserahkan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) secara bulanan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjumlah SG$13.56 juta.

V. Mahendran berkata hasil siasatan mendapati transaksi pembayaran wang tunai kepada Ahmad Zahid itu berlaku antara Oktober 2014 dan Mac 2018 selain ia direkodkan di dalam sebuah lejar milik UKSB.

“Lejar tersebut disediakan oleh David Tan (bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun) melalui ‘Microsoft Excel’ dengan menggunakan laptop beliau. Lejar tersebut adalah bertujuan untuk merekodkan kemasukan dan pengeluaran wang setiap bulan UKSB.

“Dalam lejar tersebut, David Tan telah menamakan kod nama Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) seperti Monster, Mon, YB, Young Boy, ZH dan Z,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

Mahendran,38, berkata lejar itu juga mengandungi bukti pembayaran kepada menteri-menteri, ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan.

Berdasarkan 33 pertuduhan menerima rasuah, Ahmad Zahid, 69, didakwa menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mahendran berkata wang bulanan yang diserahkan kepada Ahmad Zahid itu diberikan UKSB secara berperingkat, bermula SG$200,000 pada Oktober 2014 hingga Februari 2015.

Beliau berkata jumlah itu kemudian ditingkatkan kepada SG$300,000 pada Mac 2015 hingga Jun 2017 serta kali terakhir dinaikkan kepada SG$520,000 SGD pada Julai 2017 hingga Mac 2018.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15 yang juga merupakan bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah sama bahawa bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir 2014 dengan bayaran SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017, selain peningkatan sumbangan bulanan itu adalah permintaan presiden UMNO itu.

Mahendran berkata hasil siasatannya juga menunjukkan selain daripada wang tunai bulanan, UKSB turut menyerahkan wang tunai secara sekali beri kepada Ahmad Zahid antara Jun 2015 dan 27 Mac 2018.

“Transaksi-transaksi pembayaran tersebut seperti RM125,000 pada Jun 2015 untuk Sambutan Hari Raya, SG$120,000 (Ogos 2015), 15,000 Swiss Franc (Mei 2016), US$15,000 (Julai 2016), SG$1 juta (Mei 2017) bagi sambutan ulang tahun UMNO yang ke-71, SG$30,000 (Oktober 2017) untuk sambutan hari lahir isteri Datuk Seri Zahid dan RM3 juta (27 Mac 2018) bagi pilihan raya.

“Kesemua pembayaran tersebut dibuat di Country Heights, Kajang (kediaman Ahmad Zahid) dan Seri Satria, Putrajaya (kediaman rasmi Ahmad Zahid),” katanya.

Sebelum ini juga, Harry Lee memberitahu mahkamah sama bahawa UKSB telah menaja Ahmad Zahid melancong ke luar negara, sambutan ulang tahun isteri Ahmad Zahid dan hari raya.

Mengikut tujuh lagi pertuduhan menerima rasuah, presiden UMNO itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-18 tersebut berkata hasil siasatan menunjukkan wang tunai yang diserahkan kepada Ahmad Zahid adalah bukan hasil akaun UKSB.

“Berdasarkan penyata kewangan UKSB antara 2014 dan 2018, keuntungan selepas cukai bagi syarikat itu adalah RM625,033 pada 2014, RM114,572 (2015), RM4,913,446 (2016), RM2,821,144 (2017) dan RM 351,739 (2018).

“Bagaimanapun, sumber wang tunai yang digunakan oleh UKSB untuk membayar kepada Datuk Seri Zahid adalah hasil daripada persefahaman lisan antara UKSB dengan beberapa syarikat iaitu Visa Malaysia Ltd, Maintech System HK Ltd (Syarikat Hong Kong), Valiant Capital Corporation, Galaxy Services Corporation dan Lotus Capital Corporation (Syarikat Labuan),” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-17 iaitu David Tan memberitahu mahkamah sama bahawa wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri untuk Ahmad Zahid tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan mereka di Hong Kong.

Bagi kesemua 40 pertuduhan menerima rasuah itu, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di Seri Satria dan Country Heights antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa sedang berlangsung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button