Berita UtamaTarbiyyah

Anak Gadis dalam al-Quran (bukan gadis ketum)

1. Ketika lari keluar daripada kezaliman Firaun, Allah menggambarkan bagaimana Nabi Musa bertemu dengan dua orang gadis di Madyan. al-Quran menerangkan beberapa ciri yang ditampilkan oleh kedua anak gadis tersebut ketika mereka berusahah untuk mendapatkan air buat binatang ternakan mereka. Perkara ini direkodkan dalam surah al-Qasas ayat 22 hingga 26.

2. Menurut Sheikh al-Sabuni, kedua anak gadis ini amat memelihara kehormatan mereka dengan menjaga batasan pergaulan. Mereka mengasingkan diri mereka daripada bersesak dan percampuran yang terbuka sehingga keadaan mereka ini disedari oleh Nabi Musa. Perkara ini dipaparkan dalam al-Quran ketika babak anak gadis ini menunggu giliran mereka mengambil air.

3. Menurut al-Sa’di, Allah juga menggambarkan bagaimana anak gadis seharusnya hanya keluar rumah atas keperluan. Perkara ini digambarkan apabila anak gadis tersebut menerangkan kepada Nabi Musa bahawa mereka harus menguruskan urusan gembala mereka kerana ayah mereka telah terlalu tua.

Kata anak gadis tersebut seperti yang dinukilkan dalam al-Quran:
لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.

4. Apa yang paling jelas sekali adalah, kedua anak gadis tersebut digambarkan sebagai memiliki sifat malu yang tinggi. Perkara ini ditampilkan secara spesifik apabila Allah menerangkan perlakuan mereka ketika berjalan dengan lafaz “mereka datang berjalan dalam keadaan malu-malu.”Firman Allah:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ

Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu…”

5. Begitulah kisah ringkas di dalam Surah al-Qasas yang membayangkan sifat anak gadis yang memiliki perwatakan yang baik serta berakhlak yg tinggi. (1) Mereka menjaga kehormatan serta batasan pergaulan, (2) mereka tidak keluar rumah melainkan dengan keperluan dan (3) mereka memiliki sifat malu yang tinggi.

Mudah-mudahan Allah membantu kita memberi kefahaman dan didikan buat anak gadis Muslimah pada hari ini.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini terlebih dahulu disiarkan di Facebook penulis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close