PRU14

PAS Perlis tak tergugat, sedia berdepan lawan tiga penjuru

Kehadiran Bersatu beri kesan sedikit kepada politik tempatan

KANGAR, 15 Rejab 1439H, Isnin – PAS Perlis mengakui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini agak sengit kerana sekurang-kurangnya akan berlaku pertandingan tiga penjuru, di semua tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun negeri itu kecil.

Malah, kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Pakatan Harapan (Harapan) turut merancakkan PRU14, sekali gus sedikit sebanyak menganggu-gugat kedudukan Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Haji Baharuddin Ahmad tetap yakin, menerusi strategi dan gerak kerja berbeza kali ini, rakyat, khususnya pengundi akan memberi mandat kepada PAS untuk memerintah.

Dalam pertemuan khas bersama Ismaweb.net di sini baru-baru ini, beliau mengakui suasana politik di Perlis agak panas, tetapi tidak terlalu dirasai seperti negeri-negeri lain, termasuk di Kedah, mungkin kerana kawasan Parlimen dan DUN adalah kecil, manakala pengundinya pula tidak ramai.

“Saya dapati tekanan hidup walaupun ada, tetapi kurang berbanding tempat lain khusus di bandar besar. Jadi ia memberi kesan kepada senario politik tempatan. Pun demikian kita masih ada beberapa isu yang boleh dibangkitkan pada pilihan raya ini. Walaupun kurang tekanan hidup, tetapi ada bebanan kepada rakyat.

“Dan kita harap golongan muda akan memberi suatu kesan yang besar dalam pilihan raya ini dan kita juga yakin mereka akan jadi aset yang kukuh kepada PAS di Perlis ini,” katanya.

Katanya, PAS mempunyai strategi tertentu bagi menghadapi pilihan raya kali ini, selepas bersendirian, berbanding pada PRU13 apabila bergabung dalam Pakatan Rakyat.

“Bila bersendirian maka strategi dan gerak kerja berbeza. Kali ini kita akan tumpu kepada memberi penerangan. Kita akan cuba elak menyerang kerana kita akan cuba sampaikan kepada pengundi apakah hasrat, tujuan dan apa yang akan dilaksanakan oleh PAS sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan.

“Kita cuba elak kontroversi atau menimbulkan pertelingkahan di kalangan pengundi sesuai dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh PAS,” katanya.

Mengulas saingan yang perlu didepani oleh parti itu, Haji Baharuddin berkata, sudah pasti ianya datang daripada BN dan UMNO kerana mereka adalah parti pemerintah.

Beliau berkata, Bersatu tidak begitu kuat di Perlis, tetapi kehadiran mereka dapat menganggu-gugat BN dan sedikit sebanyak memberi kekuatan tambahan kepada PAS.

“Bagi kami, parti PAN seolah-olah melukut di tepi gantang dan saya rasa mereka tiada peluang untuk bertapak di Perlis. Tetapi dengan gabungan tiga parti itu ia boleh memberi kekuatan. Berbanding tiga parti itu (Bersatu, PKR dan PAN), saya lihat Bersatu lebih menyerlah,” katanya.

Menjawab soalan, beliau berkata, Bersatu dilihat lebih kuat kerana parti itu muncul daripada krisis di dalam UMNO sendiri dan ia dipelopori oleh nama-nama besar bekas pemimpin UMNO.

Oleh itu, katanya, sama ada secara langsung atau tidak, parti itu dapat menarik penyokong UMNO, malah PAS melihat memang ada sokongan kepada Bersatu.

“Manakala, PAN hanyalah serpihan daripada PAS dan bukan daripada pimpinan golongan ulama sendiri. Jadi kita rasa PAS tidak terjejas dengan kehadiran PAN. Sebab itu saya kata dia tidak boleh beri sebarang impak pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close